LFL kritik hukuman pada warga emas kes siar kenyataan palsu
Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik keputusan menjatuhkan hukuman penjara kepada Johari Ismail, 67, selepas dia gagal membayar denda RM30,000 kerana menyiarkan kenyataan "palsu" di media sosial.
Kumpulan hak asasi manusia membidas kerajaan, menyifatkan ia menyekat kebebasan bersuara.
Pengarah Eksekutif LFL Zaid Malek turut menyifatkan kerajaan menggunakan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) sewenang-wenangnya.
Dia memberi amaran bahawa jika komen dalam talian orang ramai diteliti tanpa henti oleh pihak polis hanya kerana ada sedikit fakta tidak tepat, orang ramai akan terlalu takut untuk bersuara..
“Sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan yang tidak disengajakan. Adakah mereka akan dipenjarakan kerana ini? Ini akan membunuh kebebasan bersuara.
“Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan menjunjung kebebasan bersuara sebagai salah satu kebebasan asasi rakyat, dan hak ini mesti dijaga dengan tegas. Hanya kerana ia dikatakan palsu tidak bermakna ia memerlukan sekatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 25 Feb lepas, Johari mengaku bersalah kerana memuat naik kenyataan yang mendakwa Majlis Raja-raja telah mengundi untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan sekarang berhubung kegagalan mengambil tindakan terhadap titah adendum berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak.
Zaid berhujah bahawa tanpa mengira kepalsuan kenyataan itu, perbincangan awam mengenai titah tambahan itu adalah topik yang berkaitan kepentingan negara.
“Adalah tidak boleh diterima bahawa Johari didakwa atas kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) AKM dan dijatuhi hukuman berjumlah RM30,000. Sebagai rakyat Malaysia biasa dia tidak dapat membayar denda dan kini berada dalam penjara.
“Kerajaan ini telah membenarkan seksyen 233(1)(a) AKM digunakan sebagai undang-undang antiberita palsu pintu belakang, dan pendakwaan serta hukuman ini sudah pasti akan menimbulkan ketakutan kepada orang awam,” katanya.
“Kerajaan tidak boleh sewenang-wengangnya mendakwa dan memenjarakan sesiapa sahaja yang mengambil bahagian dalam perbincangan itu. Sekiranya terdapat perkara yang tidak betul atau tidak benar, kerajaan perlu bersedia untuk menanganinya dengan kekuatan penuh kemudahan komunikasi kerajaan,” katanya.
Zaid mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan tentang kempen mereka menentang Akta Antiberita Palsu pada masa lalu.
“Kewajaran untuk menentang Akta Antiberita Palsu harus terpakai sama dengan Seksyen 233(1)(a) AKM. Malah, ia antara punca PH sebelum ini berjanji untuk memansuhkan peruntukan itu; janji yang mereka langgar tanpa segan silu.
“Berita-berita palsu mengenai perkara-perkara kepentingan awam harus ditangani dan dijawab, tetapi adalah salah untuk mengenakan tuduhan jenayah atas sebab itu. Itu akan membuka jalan kepada autoritarianisme, di mana sebarang wacana mengenai perkara yang berkepentingan awam mestilah dalam naratif yang diluluskan oleh kerajaan,” tambahnya.
LFL juga melahirkan kebimbangan bahawa laporan berkaitan sabitan Johari di bawah Seksyen 233(1)(a) AKM menggambarkan pertuduhan itu mencemarkan nama baik institusi diraja.
“Ini adalah satu lagi kedudukan berbahaya untuk diambil kerana institusi diraja terlibat dengan banyak bahagian penting dalam pentadbiran awam, termasuk pemberian pengampunan.
"Hanya kerana mereka menjadi sebahagian daripada perbualan tidak sepatutnya bermakna ia dilakukan dengan tujuan untuk mencemarkan nama baik institusi diraja.
“Kami dengan ini mengingatkan kerajaan bahawa ia tidak boleh menjadikan kebebasan bersuara sebagai ilusi dengan menimbulkan ketakutan kepada orang ramai dengan ancaman pendakwaan yang sewenang-wenangnya. Sebarang tindak balas terhadap berita ‘palsu’ tidak seharusnya mengorbankan hak kebebasan bersuara,” tambahnya.
Pada 2019, pentadbiran PH di bawah perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah memansuhkan Akta Antiberita Palsu.
Kerajaan berkata pemansuhan itu selaras dengan komitmennya untuk memansuhkan undang-undang zalim.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/7ca44d16c31a76161cc443b24d724085.jpg)
