"Lapan minit yang diambil oleh kapal angkasa Soyuz TMA-11 untuk memasuki orbit nampaknya tempoh paling lama dalam hidup saya," kata angkasawan Malaysia Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha kepada Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) melalui persidangan video yang diadakan di Studio 7 Astro, semalam.

Persidangan video itu yang disiarkan secara langsung oleh Astro dan stesen televisyen tempatan menunjukkan Dr Sheikh bersemangat tinggi dan nampak girang semasa menjawab pertanyaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, demikian menurut laporan Bernama.

"Saya menikmati dan menghargai setiap saat berada di ISS dan berharap boleh berada di sini lebih lama," kata Dr Sheikh Muszaphar, yang kini turut popular dengan panggilan Dr SMS - pendekan bagi Sheikh Muszaphar Shukor.

Persidangan video itu yang berlangsung selama 10 minit juga memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan Dr Sheikh Muszaphar bergerak dalam keadaan `graviti sifar' di ISS dan juga mendengar angkasawan Rusia Yuri Malenchenko mengirim salam kepada rakyat Malaysia.

Malenchenko, jurutera penerbangan, dan angkawasan Amerika Syarikat Peggy Whitson merupakan krew kapal angkasa Soyuz TMA-11 yang berlepas bersama Dr Sheikh dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan pada 10 Oktober.

Kapal angkasa Soyuz bercantum dengan ISS pada 10.52 malam waktu Malaysia pada 12 Okt dan ketiga-tiga mereka menyertai dengan Komander Fyodor Yurchikhin, Jurutera Penerbangan Oleg Kotov dan Clay Anderson, tiga krew misi sebelum ini ke ISS, pada lebih kurang 12.33 tengah hari waktu Malaysia.

Vaksin HIV

Dr Sheikh Muszaphar berkata ujikaji beliau terhadap protein bagi vaksin HIV disiapkan hari ini dan beliau akan terbabit dalam ujikaji kedua esok.

Semasa ekspedisi itu, beliau akan melaksanakan empat ujikaji yang digariskan oleh saintis Malaysia termasuk kajian kesan mikrograviti dan radiasi ruang angkasa pada sel dan mikrob.

"Anggota lain ekspedisi itu sedia membantu dalam segala aspek dan apa sahaja kejayaan yang saya tempuhi di sini bukan hak saya sahaja tetapi hak negara, 50 tahun selepas kemerdekaan," katanya.

Dr Sheikh Muszaphar dijangka pulang ke bumi pada 21 Okt bersama dua angkasawan Rusia, Yurchikhin dan Kotov, sementara Whitson dan Malenchenko akan terus berada di ISS.

Dr Sheikh Muszaphar merupakan warga Malaysia pertama untuk meneroka angkasa lepas dan ia adalah hasil progranm yang dilhamkan pada 2003 apabila Rusia bersetuju menghantar seorang warga Malaysia ke ISS sebagai sebahagian daripada program pembelian 18 jet pejuang Sukhoi buatan Rusia bernilai RM3.4 bilion.

Sementara itu Dr Sheikh Muszafar berkata perkara yang paling sukar buatnya ialah untuk membiasakan pergerakan di ISS yang tidak mempunyai graviti.

'Rumah terbuka'

"Pada mulanya agak sukar bagi saya bergerak di ISS tetapi krew di sini mengajar saya untuk membiasakan diri. Macam semalam saya tidur dan apabila sedar saya telah berada di tempat yang lain," katanya.

Katanya semalam juga beliau telah mengadakan "Rumah Terbuka" dengan menjamu krew lain dengan makanan tempatan dan antara makanan yang disukai mereka ialah mangga kering dan juga kek gulung pisang.

"Saya juga memakai baju batik semalam dan mereka yang lain mengatakan ianya cantik," katanya.

Berbalik kepada Dr Jamaluddin, beliau berkata separuh daripada ujikaji yang dibawanya kini sudah `separuh jalan' dan ada yang belum dimulakan kerana mencari masa yang sesuai.

"Keputusan kajian yang dijalankan Dr Sheikh Muszaphar akan dikongsi bersama Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) dan juga Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

"Mereka memang tunggu hasil kajian kita termasuk dari Russia," katanya.