PARLIMEN | Seorang ahli parlimen hari ini membangkitkan isu kematian pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing kira-kira tiga tahun lalu.
Ditemui media bersama dua NGO, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, berkata pihak berkuasa perlu mendedahkan apa yang berlaku ke atas Allahyarham Atif Abu Bakar.
Katanya ahli keluarga mangsa ingin tahu perkembangan terbaru siasatan kes berkenaan.
"Kami menggesa kerajaan, khususnya Jabatan Peguam Negara, mengambil langkah segera untuk mendedahkan kebenaran dan memastikan keadilan ditegakkan buat Atif dan keluarganya yang sedang berduka," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh pertubuhan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan Bersama (Edict) dan Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokratik.
Menurut kumpulan terbabit pula, Atif, 20, didapati hilang dari tempat penginapannya di pusat pendidikan berkenaan pada 18 Dis 2022 sebelum mayatnya ditemui di sebuah surau di Mersing sehari kemudian.
Bedah siasat mendapati punca kematian Atif sebagai "asfiksia traumatik" dengan 53 kesan kecederaan padanya. Dapatan itu menyebabkan keluarga mangsa percaya dia dipukul hingga mati oleh orang tidak dikenali.
Ditemui kemudian, Pengarah Eksekutif Edict, M Visvanathan, yang juga mewakili keluarga Atif berkata kelewatan tindakan oleh pihak berkuasa dalam kes tersebut adalah tidak boleh diterima.
“Jika anda menulis untuk memberitahu kami inkues akan dijalankan pada Nov, mengapa ia masih belum dijalankan sehingga kini?
“Sudah lebih dua tahun sejak kejadian itu, jadi nak tunggu berapa lama lagi?” katanya.
Insiden menimpa Atif itu menjadi perhatian selepas keluarganya mengadakan sidang media pada 25 Sept tahun lalu dan mendakwa polis tidak mengambil tindakan lanjut dan menasihatkan mereka agar merujuk kepada majistret.
Bapa Atif, Abu Bakar Ja’afar, 62, berkata allahyarham berhak mendapat pembelaan meskipun didakwa tidak waras semasa kejadian.
“Tapi dah lama sangat dah kes ini, tak tahu cerita apa. Pihak asrama pun tak ada maklumkan apa-apa, dia suruh saya ambil laporan (berkaitan Atif). Semua saya pergi tapi senyap saja, tiada perkembangan.
“Saya nak tahu apa punca anak saya meninggal. Dengan kesan pukul semua tu, sebab laporan forensik memaklumkan sebab kematian dia berpunca daripada satu tekanan hingga menyebabkan hilang oksigen.
“Jadi, siapa penyebab punca tekanan tersebut? Saya nak tahu,” katanya.
