Jangan politikkan kurikulum dengan naratif perkauman- Maszlee tegur MP DAP
Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik menegur cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong agar sejarah semua kaum di Malaysia dimasukkan dalam buku teks sekolah rendah.
Maszlee berkata penggubalan kurikulum adalah melibatkan pakar-pakar yang bukan hanya dalam bidang berkenaan, tetapi juga dalam bidang pendidikan, pedagogi, perpaduan, sosial dan lain-lain.
Justeru katanya, sekiranya orang politik yang tiada latar belakang pedagogi dan pendidikan masuk campur dalam isu membabitkan kurikulum, ia akan semakin merosakkan keadaan.
"Harap orang politik jangan mempolitikkan isu kurikulum dan pendidikan negara dengan naratif perkauman.
"Ia akan mengundang pendulum effect dari pihak lawan. Ia juga akan beri bola tanggung kepada golongan yang sentiasa bermain dengan 3R untuk laba politik mereka,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Maszlee mengulas cadangan Khoo baru-baru ini agar buku teks sejarah sekolah rendah memasukkan sejarah semua kaum di Malaysia sebagai cara menggalakkan perpaduan.
Cadangan itu menimbulkan bantahan exco Pemuda Umno Wan Zuhir Ghazali yang mengatakan adalah lebih baik sekolah vernakular ditutup jika mahu memupuk perpaduan.
Sebagai respons terhadap cadangan Khoo, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan sukatan pelajaran sekolah ditentukan oleh jawatankuasa khas yang dianggotai pakar dan guru.
Fadhlina juga berkata jawatankuasa itu memutuskan acara bersejarah yang sesuai untuk tahap pendidikan pelajar.
Sementara itu, Maszlee berkata DAP tidak akan membantu kerajaan persekutuan jika berterusan membawa isu-isu pendidikan dari sudut pandang perkauman.
Dia juga menyatakan bahawa Khoo berada dalam parti yang sama dengan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
"Timbalan Menteri Pendidikan adalah dari DAP, apakah dia tiada dalam Whatsapp group MP DAP kah untuk Kota Melaka bertanyakan soalan?"bidasnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/28160a016ab0d6ac8206d6fd2be28e8a.jpg)
