Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KATA MP | Peruntukan bumi, bukan bumi: Usah bangkitkan sentimen
Diterbitkan:  Mar 6, 2025 11:51 AM
Dikemaskini: 4:12 AM

Parti-parti politik yang serius dalam pembinaan negara seharusnya mengambil pendekatan perpaduan nasional dan berasaskan fakta ke arah penggubalan dasar ekonomi, bukan membangkitkan sentimen pecah belah mengenai persoalan agar bukan bumiputera diberikan RM1 bagi setiap peruntukan belanjawan RM10 yang diberikan kepada bumiputera.  

Menimbulkan sentimen melampau dengan menidakkan isu sebenar telah lama menjadi modus operandi parti-parti pembangkang, namun kerajaan perpaduan yang memerintah tidak seharusnya mengambil sikap yang sama.  

Apabila dirujuk kembali, Belanjawan 2022 Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan RM11.4 bilion kepada bumiputera dan hanya RM345 juta kepada bukan bumiputera, atau tiga peratus daripada apa yang diberikan kepada bukan bumiputera.  

Jumlah tiga peratus ini sangat tidak adil dan tidak mencukupi tatkala bukan bumiputera juga adalah penyumbang besar terhadap pembangunan negara dan sumber manusia sebagai pembayar cukai.  

Cadangan saya untuk memberi peruntukan belanjawan kepada bukan bumiputera sebanyak RM1 bagi setiap RM10 yang diberikan kepada bumiputera sebenarnya tidaklah mengambil apa-apa daripada peruntukan bumiputera.  

Tambahan pula, bahagian bukan bumiputera RM1 daripada jumlah peruntukan RM11 ini hanyalah sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan yang diperuntukkan dengan bumiputera menerima 91 peratus.  

Sebagai contoh, jika bumiputera diperuntukkan sejumlah RM12 bilion, maka bukan bumiputera perlu diperuntukkan RM1.2 bilion.  

Jumlah RM1.2 bilion ini tidaklah dikeluarkan dari peruntukan asal RM12 bilion milik bumiputera yang masih tidak disentuh.  

Tidak ada yang mempertikaikan hakikat bahawa majoriti mereka yang hidup dalam kemiskinan di Malaysia adalah bumiputera.  

Laporan Jabatan Perangkaan Kemiskinan di Malaysia 2022 memetik kadar kemiskinan mutlak negara pada 6.2 peratus, dengan 7.9 peratus untuk bumiputera, 1.9 peratus untuk Cina, 5.4 peratus untuk India, dan 6.5 peratus untuk rakyat Malaysia yang lain.  

Dalam erti kata lain, kadar kemiskinan mutlak bumiputera adalah 4.2 kali lebih tinggi daripada Cina, 1.5 kali lebih tinggi daripada India, dan 1.2 kali lebih tinggi daripada rakyat Malaysia yang lain.  

Kadar perbezaan ini adalah punca mengapa saya mencadangkan peruntukan belanjawan bumiputera diberikan 10 kali ganda berbanding bukan bumiputera dengan bukan bumiputera hanya mendapat 10 peratus daripada yang diterima oleh bumiputera.  

Kadar 10 kali ganda lebih peruntukan belanjawan untuk bumiputera ini jauh melebihi jurang perbezaan terburuk kadar kemiskinan mutlak antara bumiputera dan Cina sebanyak 4.2 kali ganda.  

Malah, kadar kemiskinan mutlak isi rumah tahun 2022 menunjukkan bumiputera membentuk 85.2 peratus, dengan bukan bumiputera 14.8 peratus atau 5.8 kali lebih banyak bumiputera daripada bukan bumiputera.  

Peruntukan belanjawan untuk bumiputera yang 10 kali ganda lebih banyak daripada bukan bumiputera adalah mencukupi keperluan untuk membantu bumiputera keluar daripada kemiskinan.  

Tiga peratus atau 33 kali ganda peruntukan belanjawan bumi sebelum ini berbanding bukan bumiputera perlu disemak kepada 10 peratus atau 10 kali ganda.  

Ini akan menjadi lebih saksama dan munasabah dengan mengimbangi keperluan moral untuk mengatasi kemiskinan dalam kalangan bumiputera tanpa mengambil mana-mana hak warganegara lain.  


LIM GUAN ENG ialah pengerusi DAP merangkap anggota parlimen Bagan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS