Pengerusi DAP Lim Guan Eng menegaskan masa depannya sebagai ketua parti komponen PH itu hanya akan ditentukan oleh ahlinya dan bukan pihak lain.
Ketika muncul spekulasi menjelang pemilihan DAP, Lim mengingatkan veteran parti terbabit tentang peranan ahli dalam menentukan masa depannya.
“Sama ada masa saya telah berlalu atau tidak itu akan ditentukan oleh ahli DAP dan bukan oleh Presiden Umno.
“DAP tidak pernah dikuasai Umno semasa kita menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila kita berada dalam kerajaan,” kata Lim pada majlis makan malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, malam tadi.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata demikian merujuk kepada kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi awal tahun ini yang mendakwa bahawa era Lim telah berlalu dan menggesa dia untuk memberi kepercayaan kepada pelapis untuk memimpin DAP.
Teguran Ahmad Zahid terhadap Lim itu dibuat sebagai reaksi kepada kenyataannya yang mengkritik Umno kerana merancang menyertai perhimpunan bersama pembangkang bagi menunjukkan solidariti kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang kini ditahan di Penjara Kajang.
Kata Lim, dia percaya para veteran DAP boleh menyumbang kepada parti itu walaupun selepas bersara daripada politik aktif.
“Anda masih boleh memainkan peranan dengan menjadi suara hati nurani untuk parti serta menjadi saluran pendapat umum tentang dasar kerajaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada ahli veteran kita kerana tidak pernah berputus asa terhadap DAP.
“Kerana itu, Malaysia boleh mengharapkan masa depan yang lebih baik,” katanya lagi.
Dalam pemilihan DAP yang menarik perhatian ramai itu, beberapa tokoh veteran parti menyatakan untuk tidak beertanding bagi menyertai jawatankuasa eksekutif pusat (CEC).
Mereka ialah M Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Barat), Tan Kok Wai (Ahli Parlimen Cheras) dan Fong Kui Lun (Ahli Parlimen Bukit Bintang).
Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bertemu Lim pada minggu lalu dalam usaha parti berkenaan memujuknya supaya tidak bertanding dalam pemilihan CEC.
Kongres Kebangsaan DAP dan pemilihan CEC ke-18 parti itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam, Selangor pada 16 Mac ini.
