Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan sembilan warga asing dalam serbuan ke atas dua unit kondominium di Desa Petaling dan Bukit Jalil kerana dipercayai menjalankan prosedur pembedahan kosmetik tanpa lesen didalangi doktor warga asing.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff, berkata dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi tadi, mereka turut menahan dua warga tempatan masing-masing seorang lelaki dan wanita yang disyaki menjadi ejen klinik berkenaan.

“Semua mereka yang berasal dari Vietnam itu melibatkan tujuh lelaki dan dua wanita. Kesemua mereka serta dua warga tempatan terbabit dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi tujuan dokumentasi,” katanya.

Serbuan itu turut disertai pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.

Wan Mohamed Saupee berkata rakyat tempatan yang menjadi ejen diberikan komisen antara lima hingga 10 peratus daripada jumlah bayaran dikenakan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan pembedahan di klinik berkenaan.

Bernama yang berkesempatan mengikuti serbuan itu mendapati antara perkhidmatan pembedahan kosmetik yang ditawarkan ialah bagi mencantikkan bahagian hidung, kelopak mata dan menegangkan muka.

Perkhidmatan itu ditawarkan pada harga antara RM1,000 sehingga RM15,000 dan menggunakan perkhidmatan ‘doktor’ lelaki dari Vietnam yang dipercayai tidak mempunyai lesen dan sijil untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan di negara ini.

Perkhidmatan itu turut dipromosikan di aplikasi media sosial oleh ejen berkenaan yang memaklumkan pelanggan mereka terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing.

Serbuan turut mendapati bilik utama di kedua-dua unit kondominium yang disewa pada harga RM2,600 sebulan itu dijadikan bilik bedah yang lengkap dengan pelbagai alat pembedahan kosmetik termasuk ubat-ubatan dipercayai diimport.

- Bernama