Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP sahkan 894 laporan polis dibuat terhadap Zamri Vinoth
Diterbitkan:  Mar 12, 2025 4:59 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Jumlah laporan polis yang dibuat di seluruh negara terhadap pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth meningkat hampir enam kali ganda dalam tempoh empat hari — daripada 150 kepada 894 laporan.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan jumlah terkini itu dan memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Jabatan Peguam Negara masih meneliti kertas siasatan dan kami masih belum menerima sebarang arahan lanjut,” katanya seperti dilapor New Straits Times.

Razarudin juga dipetik oleh Bernama sebagai berkata pihaknya telah merakam keterangan pendakwah Islam itu tetapi tidak memberikan sebarang maklumat lanjut.

Zamri disiasat berhubung satu hantaran di Facebook di mana dia menyamakan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk dan mabuk.

Hantaran itu dipadamkan daripada platform media sosial itu Ahad lalu susulan permintaan oleh MCMC.

Bagaimanapun, Zamri memuat naik semula catatan itu di akaun Facebooknya sejurus selepas ia diturunkan, menyebabkan ahli parlimen DAP, RSN Rayer menggesa pihak berkuasa menahan pendakwah berkenaan.

Susulan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil malam tadi memberitahu pemberita bahawa dia telah mengarahkan MCMC untuk menyiasat hantaran yang dimuat naik semula itu.

“Sekiranya mereka (Meta) bersetuju bahawa kandungan itu melanggar undang-undang ataupun garis panduan komuniti bagi platform tersebut, maka kandungan beliau akan diturunkan.

“Jadi kita (kerajaan) akan susuli dengan tindakan berdasarkan hasil siasatan pihak MCMC,” katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS