Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan wartawan gesa tuduhan terhadap Nantha digugurkan
Diterbitkan:  Mar 12, 2025 9:13 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Jawatankuasa Untuk Melindungi Wartawan (CPJ) hari ini menggesa SPRM membatalkan hasrat untuk mendakwa wartawan Malaysiakini, B Nantha Kumar, atas dakwaan rasuah.

Gesaan itu dibuat susulan notis yang diberikan oleh SPRM kepada Nantha petang ini bagi mengarahkan wartawan tersebut hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat ini.

Mengecam keputusan itu, Penyelaras Program Asia CPJ, Beh Lih Yi dalam kenyataannya berkata “wartawan harus bebas untuk membongkar salah laku dan rasuah.”

“Sering kali kita melihat kerajaan menggunakan tuduhan yang tidak berasas untuk mencemarkan reputasi wartawan dan melemahkan kepercayaan orang ramai terhadap laporan mereka.

“@SPRMMalaysia sepatutnya menggugurkan pertuduhan yang sedang dirancang ini,” katanya di platform X (dahulu Twitter).

Terdahulu hari ini, Nantha dimaklumkan oleh SPRM bahawa dia akan didakwa pada Jumaat ini atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM20,000.

Wartawan itu, yang menafikan tuduhan tersebut, percaya bahawa ia merupakan cubaan untuk menutup mulutnya daripada terus mendedahkan kegiatan rasuah.

Pada 7 Mac lalu, Malaysiakini menerbitkan laporan oleh Nantha yang menceritakan insiden yang membawa kepada penahanannya pada 1 Mac.

Wartawan kanan itu turut menafikan dakwaan bahawa dia telah meminta RM100,000 daripada seorang warga Pakistan dan berunding untuk mengurangkan jumlah itu kepada RM20,000.

Nantha menegaskan bahawa dia pada masa itu berpakat dengan seorang pengarah imigresen negeri dalam usaha membongkar sindiket pekerja asing tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS