Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agama tak halang Jagdeep terajui Lembaga Wakaf Hindu
Diterbitkan:  Apr 4, 2025 2:27 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Agama Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo tidak menghalangnya daripada menerajui Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), kata seorang bekas pengarah eksekutif badan berkanun itu.

Menegaskan bahawa agama tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk membantah kemungkinan pelantikan Jagdeep sebagai pengerusi lembaga itu, M Ramachandran berkata undang-undang sedia ada tidak melarang penganut Sikh daripada menjadi sebahagian daripada PHEB.

M Ramachandran

"Sesetengah orang berhujah bahawa seorang Sikh tidak boleh jadi pengerusi (PHEB). Saya kata, jangan cakap kosong," katanya dipetik portal Free Malaysia Today.

"Undang-undang jelas. Orang Sikh termasuk dalam istilah 'Hindu' dalam ordinan itu," tambah Ramachandran, merujuk kepada Ordinan Wakaf Hindu 1906.

Undang-undang era kolonial menyatakan bahawa istilah "Hindu" termasuk Sikh dan mana-mana cabang atau pelbagai agama yang dianuti oleh penduduk asli India, kecuali agama Kristian, Buddha, dan Islam.

Ramachandran juga mendakwa Jagdeep mendapat sokongan padu daripada masyarakat India tempatan, dengan sekurang-kurangnya 50 kumpulan itu, termasuk kuil dan NGO, menyokongnya mengambil-alih lembaga itu.

Dia menambah bahawa diinya bersedia untuk kembali ke lembaga pengarah dalam peranan sokongan, atau bahkan dalam kapasiti sebagai bekas CEO, untuk membantu Jagdeep "menyelesaikan kerja".

Sambil menyatakan sentimen yang sama, peguam Shamsher Singh Thind menekankan bahawa PHEB adalah badan berkanun, bukan pertubuhan Hindu.

Shamsher Singh Thind

"Walaupun ia mempunyai sedikit kawalan ke atas kuil Hindu, ia tidak terlibat dalam aktiviti keagamaan seharian, yang diuruskan oleh jawatankuasa pengurusan kuil. Dengan kata lain, PHEB berfungsi seperti ROS (Pendaftar Pertubuhan)," katanya dalam catatan di Facebook semalam.

Terdahulu, sebuah NGO berasaskan Hindu cawangan Pulau Pinang berkata PHEB mesti dipimpin oleh seorang pemimpin Hindu yang memahami agama serta nilai dan aspirasi masyarakat Hindu.

Dalam satu kenyataan, Malaysia Hindhu Dharma Mamandram berhujah bahawa kepimpinan lembaga itu mesti mencerminkan warisan budaya dan kerohanian masyarakat yang diwakilinya itu.

“Kami yakin di bawah kepimpinan individu beragama Hindu, PHEB akan berada pada kedudukan lebih baik untuk menyokong dan memartabatkan masyarakat Hindu di Pulau Pinang,” tambahnya.

Pada 30 Mac, Jagdeep berkata dia bersedia menerajui PHEB jika perlu, dengan mendakwa terdapat permintaan dan memorandum daripada pertubuhan dan masyarakt India yang mahukan pertukaran dalam lembaga itu.

Lembaga itu kini dipengerusikan oleh ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dengan Senator RA Lingeshwaran sebagai timbalan pengerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS