Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kebakaran Putra Heights: Laporan awal dijangka dua minggu lagi

Pihak berkuasa memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu lagi untuk menyediakan laporan awal mengenai kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu, kata Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan.

Dia menjelaskan laporan tersebut bergantung kepada keadaan cuaca, dan kelewatan ia keluarkan disebabkan pihak berkuasa perlu menjalankan kerja-kerja menstabilkan kawasan kejadian terlebih dahulu.

“Oleh kerana letupan telah menyebabkan ketidakstabilan struktur di lokasi kejadian, kerja-kerja untuk stabilkan kawasan perlu dilaksanakan terlebih dahulu,” kata Hussein dalam sidang media di pusat kawalan bencana hari ini.

“Selepas itu, kita boleh memeriksa paip dan bukti-bukti lain yang berkaitan untuk mengenal pasti punca letupan,” katanya.

Hussein berkata, pihak berkuasa akan memulakan analisis terhadap kawah sedalam 10 meter berukuran 21 meter kali 24 meter sebelum 15 April, selepas kerja-kerja penstabilan selesai.

Ditanya sama ada laporan yang telah siap akan didedahkan kepada orang awam, Hussein berkata keputusan tersebut terletak di di bawah jawatankuasa pengurusan bencana Selangor, yang dipengerusikan oleh menteri besar, Amirudin Shari.

Kerja-kerja menggali sebelum letupan

Mengulas mengenai siasatan polis setakat ini, Hussein mengesahkan kerja-kerja penggalian untuk menggantikan paip kumbahan telah dijalankan di kawasan sekurang-kurangnya 30 meter dari lokasi kejadian.

Kerja-kerja tersebut, yang berakhir pada 30 Mac, melibatkan penggunaan jengkaut dan ekskavator, di mana Hussein berkata ekskavator tersebut terbenam dalam lubang semasa letupan besar berlaku.

"Adakah aktiviti korek boleh sebabkan letupan adalah sesuatu yang perlu siasatan lanjut untuk kenal pasti perkara-perkara lain," katanya.

Hussein berkata walaupun kedalaman dan skop kerja penggalian belum diketahui, pemilik saluran paip berkenaan iaitu Petronas, tidak mengesan sebarang kebocoran sebelum kebakaran berlaku.

"Tak ada maklumat ada kebocoran, kalau ikutkan kalau ada kebocoran Petronas boleh kesan di pusat kawalan, mereka ada sensor dan sistem, jika ada penurunan tekanan, dia boleh tahu.

"Kalau ikut bomba, ada 3 unsur yang boleh sebabkan letupan, gas, udara and percikan api. Kalau gas leak saja tak akan meletup, ini apa yang dikongsi bomba," tambahnya.

Namun katanya, pihak polis akan menyemak data yang berkaitan dari syarikat minyak dan gas negaraitu untuk menentukan sama ada saluran paip yang berusia 30 tahun, yang bermula di Kerteh, Terengganu dan merentasi seluruh Semenanjung, mengalami kebocoran.

Tiada mayat ditemui

Polis juga telah merekodkan kenyataan daripada 56 saksi, termasuk seorang pengawal keselamatan yang cedera dan berada di sekitar lokasi kejadian semasa letupan berlaku.

Hussein menambah polis telah menggerakkan pasukan K9 dan forensik untuk mencari mayat di rumah-rumah yang terjejas serta di Sg Klang berhampiran, namun tiada mayat dijumpai.

Kebakaran besar yang melibatkan saluran paip gas Petronas pada pukul 8.10 pagi Selasa lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencapai 1,000 darjah Celsius, yang mengubah landskap kawasan tersebut menjadi sebuah kawah besar.

Kejadian itu juga memusnahkan deretan rumah dan harta benda dalam radius 500 meter dari lokasi kejadian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS