Kenyataan Fong disalah lapor, kata timbalannya
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn hanya mengesyorkan kepada pekerja bank supaya jangan mogok kerana mogok perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (DGTU), kata Timbalannya, Datuk Abdul Rahman Bakar.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn hanya mengesyorkan kepada pekerja bank supaya jangan mogok kerana mogok perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (DGTU), kata Timbalannya, Datuk Abdul Rahman Bakar.
"Tanpa kebenaran DGTU, ia salah. Bagaimanapun, piket dibenarkan kerana ia tidak salah dalam Akta Perkerjaan 1955 tetapi ia tetap tidak digalakkan," katanya ketika ditemui Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Sebenarnya, kata Abdul Rahman, kenyataan Fong telah disalah lapor. Dr Fong dilaporkan membuat kenyataan "Dalam keadaan sekarang selepas kes itu dirujuk ke mahkamah, Polis boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mengadakan piket kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang...kena tunggu keputusan Mahkamah Perusahaan."
Abdul Rahman memberitahu demikian ketika diminta mengulas tindakan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube) membuat laporan polis terhadap Fong berhubung kenyataan tersebut.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Brickfield di ibu negara, Isnin lalu selepas akhbar tempatan menyiarkan laporan perbalahan antara Fong dan Nube berhubung isu piket.
Semalam peguam Nube juga telah menghantar surat kepada Fong bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu tidak benar dan Nube tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.
Fong enggan ulas
Dr Fong yang ditemui di pejabatnya tengah hari tadi, bagaimanapun enggan membuat sebarang kenyataan.
"Tidak perlu, tidak perlu," katanya kepada wartawan Malaysiakini ketika diminta mengulas perkara tersebut.
Abdul Rahman berkata, Fong seorang menteri yang bagus dan telah menyelesaikan banyak kes yang membabitkan pertikaian pekerja di dalam negara ini.
"Kita mahu kes tersebut diselesaikan secara baik, secara elok dan jalan yang baik ialah dengan mengadakan rundingan," katanya.
Dalam temubual dengan Malaysiakini hari ini, Abdul Rahman juga bercakap mengenai penubuhan kesatuan sekerja di kalangan pekerja asing di negara ini.
Beliau berkata, sikap pekerja asing yang suka mogok dan berarak tidak sesuai dengan pekerjaan di negara ini.
Pekerja asing
"Kita (kementerian) mengenalpasti pekerja Vietnam, Bangladesh dan India merupakan antara pekerja asing yang gemar mogok," katanya.
Abdul Rahman berkata, Jabatan Imigresen tidak membenarkan pekerja asing menubuhkan kesatuan sekerja di negara ini.
Beliau berkata, pekerja asing sudah tahu peraturan tersebut dan 'jika mereka tidak suka, mereka tidak perlu datang (bekerja).'
Meskipun, tanpa kesatuan sekerja, katanya, ini bukan bermakna kerajaan mahu menindas atau menganaktirikan pekerja asing.
"Kerajaan juga tidak membenarkan sektor elektronik menubuhkan kesatuan sekerja kerana bimbang mereka mengadakan mogok dan menyebabkan pelabur lari.
"Pekerja eksekutif juga tidak boleh menubuhkan kesatuan sekerja kerana jika mereka mogok boleh menjejaskan keselamatan negara," katanya.

