Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar tidak pernah diletakkan dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK), kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Razarudin berkata ini kerana Samsuri bukanlah seorang penjenayah, manakala dakwaan yang dia diletakkan di bawah status individu dianggap berisiko walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah, adalah tidak benar sama sekali.
Malah, katanya lagi, istilah TCO yang digunakan Ahmad Samsuri bagi menggambarkan dia dipantau ketat oleh pihak berkuasa juga tidak tepat kerana TCO atau pegawai kawalan perjalanan sebenarnya adalah jawatan pegawai polis cawangan khas (SB) yang bertugas di pintu keluar masuk negara.
"TCO adalah travel control officer yang bertugas di pintu keluar masuk negara, sama ada di lapangan terbang atau di Bukit Kayu Hitam yang mempunyai tugasan tertentu.
“Mungkin apa yang dimaksudkan Ahmad Samsuri itu adalah SPK tetapi namanya tidak ada dalam senarai kerana dia bukan penjenayah atau suspek.
"Sebenarnya nama yang ada dalam SPK adalah suspek bagi kes tertentu termasuk jenayah (CID), narkotik atau individu yang terbabit dalam kes 3R yang melarikan diri ke luar negara yang perlu ditangkap jika mereka memasuki negara ini," katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Semalam Ahmad Samsuri yang juga naib presiden PAS mendakwa dia dikenakan pemantauan TCO sehingga panggilan telefonnya diawasi.
Katanya, langkah berkenaan menjadikan dirinya seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata (tidak dikehendaki) di tanah air sendiri.
Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan tiada keperluan untuk kerajaan mengintip pergerakan Ahmad Samsuri kerana pemimpin PAS itu sentiasa didampingi polis.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata pegawai TCO yang bertugas di pintu masuk negara bekerjasama dengan pegawai imigresen dan kastam bagi melakukan risikan serta meneliti senarai suspek dalam SPK bagi membolehkan tangkapan dibuat untuk tindakan lanjut.
"Sebenarnya kita tahu pergerakan Ahmad Samsuri kerana pegawai polis sentiasa ada bersamanya sepanjang masa untuk menjaga keselamatannya.
"Cuma mungkin bila TCO bertanya ke mana dia nak pergi ketika melalui laluan VIP untuk keluar negara, dia berasa tidak selesa," katanya yang turut dilaporkan menafikan telefon Ahmad Samsuri dipintas.
Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semua orang kenamaan di Malaysia memang berada di bawah pantauan CTO, termasuk dirinya sendiri.