Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyarankan agar Malaysia mengembangkan perdagangan ke negara-negara lain susulan tarif import tinggi dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, tarif baru diumumkan Presiden Donald Trump itu akan menyebabkan barangan Malaysia dijual dengan harga tinggi di AS.
Katanya, keadaan itu akan memberi kesan kepada syarikat-syarikat pengeluar dari Malaysia termasuk mengalami kejatuhan saham.
“Kalau mereka tak beli barangan kita, jualan kita menurun, ini akan memberi kesan kepada syarikat, saham syarikat akan jatuh.
“Ini buat sementara, kalau saham syarikat kita jatuh kerana pasaran kurang, kita harus berusaha menjual barangan kepada negara-negara lain selain Amerika Syarikat.
“Mereka tak kenakan tarif yang tinggi, dagangan kita dengan negara-negara lain patut (lebih) berkembang,” katanya pada sidang media sempena program pembukaan kapsul masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan dihadapi Malaysia dan bagaimana negara perlu bertindak balas terhadap kenaikan tarif tersebut.
Trump pada 2 April lepas mengumumkan negara itu akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.
AS bagaimanapun memberi penangguhan selama 90 hari tarif ke atas 75 negara, termasuk Malaysia.
Terdahulu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan tarif import timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa negara termasuk Malaysia boleh juga boleh menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan negara dengan China.
Anwar berkata langkah AS mengenakan tarif dan cukai import yang tinggi memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
