Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: Azam 'bersihkan' Hajiji belum memadai - Shafie
Diterbitkan:  Apr 13, 2025 8:41 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sudah membersihkan nama Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor daripada sebarang salah laku skandal rasuah melibatkan lesen perlombongan namun Presiden Warisan Shafie Apdal berpandangan ia belum memadani.

Shafie menegaskan kenyataan Azam sahaja tidak memadai untuk menutup persoalan yang timbul daripada isu berprofil tinggi itu.

"Kalau itu yang beliau (Azam) katakan, tetapi kita sudah tahu keadaan-keadaan yang akan berbangkit.

"Kalau ekornya ada, kepalanya juga mesti ada,” kiasnya seperti dilaporkan media tempatan hari ini.

Katanya, meskipun seseorang yang meluluskan sesuatu projek tidak semestinya bersalah namun semua aspek berkaitan — termasuk dokumen dan aliran wang — wajar disiasat secara mendalam.

"Perkara ini harus diperincikan secara menyeluruh dari segi dokumentasi, aliran kewangan, transaksi.

"Penting untuk kita lihat keadaan mana yang boleh kita katakan bahawa ada penyelewengan," kata Shafie yang juga Adun Senallang.

Azam: Hajiji tidak terbabit

Khamis lalu, The Star melaporkan kenyataan Azam yang menafikan penglibatan Hajiji dalam kes berkenaan.

"Jangan risau, beliau (Hajiji) tidak terlibat dalam kes ini," katanya seperti dipetik media tempatan itu.

Rakaman kenyataan itu yang diperoleh Malaysiakini turut menunjukkan Azam menegaskan Hajiji tidak terbabit dalam sebarang video berkaitan skandal tersebut.

Kenyataan itu merujuk kepada video-video yang dirakam oleh seorang pendedah maklumat, yang juga merupakan pemberi rasuah dalam kes itu.

Malaysiakini sebelum ini telah menyiarkan sebahagian video tersebut, manakala versi penuh tanpa suntingan telah diserahkan kepada SPRM.

Azam turut memaklumkan Hajiji telah dipanggil sekurang-kurangnya dua kali untuk memberi keterangan dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS