Penyandang Ketua Cabang PKR Tambun, Arafat Varisai Mahamad menafikan dakwaan dia menunjukkan pistol kepada pencabarnya semasa kempen pemilihan parti.
“Setiap kali tempoh pemilihan parti akan ada yang memfitnah untuk kepentingan politik calon yang menentang saya dalam pemilihan," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Arafat yang juga Adun Hulu Kinta berkata dia telah membuat laporan polis berhubung tuduhan tersebut.
"Saya telah mengarahkan peguam mulakan tindakan undang-undang terhadap individu yang memfitnah.
"Calon perlu menghadapi pemilihan secara prinsip, etika dan semangat keluarga," katanya lagi.
PKR Tambun bersama cabang-cabang lain di Perak telah mengadakan proses pemilihan parti hari ini.
Arafat kini dicabar oleh Shamsul Kamar Ani bagi jawatan Ketua Cabang PKR Tambun.
Terdahulu, A Kalaimughilan, yang merupakan rakan sepasukan Shamsul memuat naik satu video mendakwa Arafat hadir ke lokasi kempen dan menunjukkan pistol ke arah kumpulan mereka.
Kalaimughilan bersama beberapa individu lain mendakwa mereka mempunyai bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
Dia turut mendakwa Arafat mengugut beberapa calon dalam pertandingan kali ini.
