Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KDN) sedia menyerahkan tugas pengambilan pekerja asing kepada Kementerian Sumber Manusia jika kementerian berkenaan mampu mengendalikannya dengan baik.

Menteri KDN, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah jika Kementerian Sumber Manusia mahu menguruskan kemasukan pekerja asing di negara ini.

"Saya sangat gembira jika mereka (Kementerian Sumber Manusia) mahu melakukannya," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara ini.

Sebelum itu, beliau mengadakan sidang media mengenai Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan pada 5 hingga 9 November ini.

Radzi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kementerian Sumber Manusia supaya pengurusan pengambilan pekerja asing dilakukan oleh kementerian itu.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar dalam temubual dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Masalah tenaga kerja

Ketika diminta mengulas cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk meminta kabinet menghentikan terus pengambilan pekerja asing mulai awal tahun depan, Radzi berkata:

"Tiada masalah untuk memberhentikannya tetapi bimbang boleh menjejaskan industri-industri yang menggunakan tenaga kerja asing."

Beliau berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Sumber Manusia akan menjalankan kajian mengenai tenaga kerja asing di negara ini.

Katanya, hasil kajian tersebut akan diserahkan kepada kabinet untuk tindakan lanjut.

Radzi berkata, tenaga kerja asing tidak menimbulkan banyak masalah dan mereka kuat bekerja.

"Tenaga kerja asing hanya menimbulkan masalah apabila mereka tidak dibayar gaji.

"Bagaimanapun, setakat ini kerajaan boleh mengawal tenaga kerja asing yang bekerja di negara ini," katanya.