Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menyerahkan klip video asal perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam, didakwa dengan seorang hakim kanan, mengenai urusan pelantikan hakim pada tahun 2002.

Semalam adalah tarikh akhir - yang ditetapkan oleh BPR - bagi bekas timbalan perdana menteri itu menyerahkan klip video asal tersebut.

Dalam satu kenyataan semalam, BPR menjelaskan bahawa Anwar menghubungi BPR meminta mereka datang mengambil klip video itu dari beliau, demikian menurut laporan Bernama.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, adalah menjadi tanggungjawab Anwar datang menyerahkan klip video tersebut ke ibu pejabat BPR di Putrajaya dan bukannya meminta pegawai BPR datang ke pejabat beliau bagi mendapatkan klip video itu seperti mana yang diminta oleh Anwar.

BPR berkata, klip video asal itu perlu dikemukakan kepada ibu pejabat BPR pada 25 Oktober (semalam) bagi membantu siasatan terhadap kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Menurut kenyataan itu, kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 58 akta itu dengan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Tunggu hari ini

Menurut BPR lagi, mereka difahamkan bahawa klip video yang ingin diserahkan oleh Anwar itu juga merupakan salinan dalam bentuk `pen drive' berupa rakaman sepanjang lapan minit, dan bukannya yang asal seperti yang diperintahkan.

BPR seterusnya menafikan bahawa tindakan yang diambil bagi mendapatkan salinan asal klip video daripada Anwar itu bermotifkan politik seperti yang didakwa beliau.

Pada 18 September lalu BPR mula menjalankan siasatan bagi membantu panel bebas khas menentukan kesahihan rakaman klip video yang memaparkan visual seorang peguam berbual dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai perlantikan hakim pada tahun 2002.

Sementara itu, Utusan Malaysia , yang memetik kenyataan BPR, berkata badan itu akan mengeluarkan perintah dakwaan terhadap ANwar kreana gagal menyerahkan klip video tersebut.

Menurut laporan akhbar itu lagi, kenyataan itu menyebut, kegagalan Anwar berbuat demikian merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, ketika dihubungi Bernama semalam berkata. Anwar telah membeir jaminan Isnin lalu untuk menyerahkan klip video asal tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, BPR masih menunggu klip video asal itu diserahkan kepada pihaknya.

"Kita tengok apa yang akan berlaku esok (hari ini) kerana hari ini (semalam) adalah tarikh akhir (untuk Anwar menyerahkan klip video asal tersebut)," katanya.