Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua lelaki masing-masing didenda RM100,000 ceroboh tanah Pahang
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 6:01 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Seorang ahli perniagaan dan pekerjanya masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di Raub hari ini selepas mengaku bersalah membersihkan tanah kerajaan negeri Pahang seluas 0.101 hektar tanpa kebenaran pada November tahun lepas.

Hakim Noor Aisah Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Bong Jau Chong, 79, dan pemandu jengkaut Chong Teck Kong, 62, serta turut memerintahkan mereka dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Selain itu, Noor Aisah memerintahkan jentera yang disita pada masa kejadian dilucuthakkan kepada Kerajaan Negeri Pahang.

Kedua-dua tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dua lelaki berkenaan secara bersama telah melakukan kesalahan tanpa kebenaran sah dengan membersihkan tanah kerajaan negeri di Kampung Seberang Jelai, Mukim Telang, Kuala Lipis kira-kira pukul 3 petang, 21 Nov 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 425(1)(b) dan Seksyen 426C(3) Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Muhammad Taqiuddin Azizan, manakala peguam Lim Zi Shin mewakili kedua-dua tertuduh.

Pada prosiding itu, Muhammad Taqiuddin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh memandangkan isu pencerobohan tanah merupakan sesuatu yang serius.

Bagaimanapun, Lim memaklumkan anak guamnya tidak melakukan kesalahan jenayah berat dan mereka hanya membersihkan tanah yang terletak bersebelahan dengan tanah milik tertuduh bagi menghalang haiwan liar masuk ke tanah milik Bong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS