Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun PN kesal diketepikan dalam taklimat insiden Putra Heights
Diterbitkan:  Apr 18, 2025 9:10 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

Seorang pemimpin PN mendakwa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengetepikan pembangkang semasa mengadakan taklimat khas berhubung insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights.

Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, tindakan mengenepikan wakil-wakil rakyat PN mencerminkan sikap tidak demokratik yang membelakangi semangat Dewan Negeri Selangor.

"Apakah kerajaan negeri cuba menyusun naratif sendiri tanpa diganggu dengan persoalan yang mungkin tidak mereka mahu jawab?

"Atau lebih membimbangkan adakah terdapat kegagalan agensi atau kecuaian pihak tertentu yang ingin disembunyikan daripada penelitian umum?" soalnya dalam satu kenyataan semalam.

Kellmarin, Amirudin memaklumkan dia telah mempengerusikan satu sesi taklimat khas berkenaan insiden tersebut kepada Adun dan ahli parlimen kerajaan dari Selangor.

Amirudin berkata taklimat itu antara lain bagi memberi gambaran berhubung langkah segera yang telah dan akan diambil kerajaan negeri dalam menangani kesan insiden serta memastikan kebajikan mangsa terus menjadi keutamaan.

Bagaimanapun Afif yang juga Setiausaha PN Selangor menegaskan sebarang usaha membaik pulih kawasan bencana mestilah melibatkan semua pihak.

Ini katanya bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang di masa hadapan.

"Tindakan memencilkan blok pembangkang hanya melemahkan kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran negeri, dan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri lebih mementingkan kawalan politik daripada kebajikan rakyat," tambah Afif.

Afif berkata sebelum ini, Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali menuntut agar satu siasatan bebas dan telus dijalankan terhadap insiden ini.

"Beliau juga telah menggesa agar satu sidang khas Dewan Negeri Selangor diadakan bagi membolehkan isu ini dibahaskan secara menyeluruh dan terbuka.

“Namun, hingga kini, kerajaan negeri terus mengelak daripada menyahut seruan tersebut – seolah-olah takut kepada pendedahan dan enggan menerima semak dan imbang yang sah," katanya.

Pada 3 April lalu, Amirudin menolak gesaan Azmin agar sidang DUN tergempar diadakan untuk membahaskan insiden itu, dengan menyatakan bahawa keutamaan kini adalah untuk membantu mereka yang terjejas.

"Ini bukan masanya untuk berbahas dalam dewan yang mulia. Ini masanya untuk kita selesaikan hal (masalah) ini.

"Sidang dewan akan berlangsung Julai nanti. Saya rasa kita ada banyak masa dan ada kesempatan untuk bahaskan dengan lebih tertib dan lebih selesa pada waktu berkenaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS