Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pintu terbuka luas untuk Tajuddin berambus jika malu jadi rakyat Malaysia'
Diterbitkan:  Apr 19, 2025 8:38 AM
Dikemaskini: 12:43 AM

Kelab Veteran Umno mencabar ahli akademik Tajuddin Rasdi melepaskan kerakyatan dan berpindah ke negara lain selepas menyuarakan rasa malu terhadap reaksi orang ramai berhubung kesilapan akhbar Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang.

Setiausahanya, Mustapha Yaakub, berkata kenyataan Tajuddin adalah tidak patriotik, bertentangan dengan sentimen awam yang mengecam Sin Chew, serta bercanggah dengan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong terhadap akhbar berbahasa Cina tersebut.

"Veteran Umno amat kesal dengan kenyataan Prof itu apabila dia sanggup menghina negara sendiri demi untuk membela orang yang membuat kesalahan menghina negara.

"Kalau betul dia malu menjadi rakyat negara ini, maka pintu Malaysia terbuka luas untuk dia berambus keluar dari negara ini.

"Malaysia tidak akan rugi dengan kehilangan seorang Prof kangkong yang tidak ada jati diri dan rasa sayang kepada negara sendiri.

"Veteran Umno mencabar Prof itu membuktikan yang dia benar-benar malu menjadi rakyat negara ini dengan melepaskan kerakyatannya dan berpindah kenagara lain,” kata Mustapha.

Semalam, Tajuddin meluahkan rasa kecewa berhubung penahanan dua editor kanan akhbar harian Sin Chew, dengan mengatakan dia berasa amat malu menjadi rakyat Malaysia.

Kecaman terhadap Sin Chew timbul selepas akhbar itu menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dalam laporan sempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia.

Tajuddin berkata tindakan Sin Chew memohon maaf, membetulkan kesilapan dan komited untuk menilai semula prosedur penggunaan kecerdasan buatan (AI) itu seharusnya mencukupi.

Dia berkata, rakyat Malaysia masih gagal mengambil iktibar daripada beberapa insiden sebelum ini, termasuk kontroversi KK Mart, isu Era FM, dan kes pemindahan kuil.

“Saya ambil inspirasi daripada Nabi saya, tetapi saya tertanya-tanya, mereka yang menuntut 'balas dendam' – dari mana mereka belajar agama mereka?

“Benar, hari ini saya rasa malu dipanggil rakyat Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS