Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat mencabar Pemuda Amanah Perak untuk "mandi sungai" di Ayer Kuning bagi membuktikan bahawa air sungai di kawasan DUN itu bersih.
Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata dia sanggup menaja mereka dengan "set snorkeling" untuk menyelam di sungai berkenaan.
"Aku nak cadang Pemuda PAN Perak mandi beramai-ramai dalam Sungai kat Ayer Kuning untuk membuktikan sungainya suci lagi bersih.
"Sungai Kuala Gepai, Sungai Batang Padang, Sungai Kenjor, kau orang pilih je sungai mana kau orang nak terjun tiruk.
"Ada bran (berani)?" kata Nurul Islam dalam satu hantaran di Facebook.
Nurul Islam mengulas video yang dimuat naik Pemuda Amanah Perak semalam, yang mempersoalkan kegagalan PAS sewaktu menjadi kerajaan negeri untuk menutup ladang babi haram di kawasan itu.
Sebaliknya Pemuda Amanah berkata PAS kini memainkan isu itu dalam kempen pilihan raya kecil Ayer Kuning.
Nurul Islam turut menyindir kenyataan Pemuda Amanah Perak yang menurutnya bercanggah dengan kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan yang sebelum ini mengatakan isu ladang babi itu hanya mainan politik PN.
"Beria semalam Tok Mat cakap isu ladang babi ni hanya mainan sentimen pembangkang. Tak ada pun ladang babi kat Kampung Tanjong Keramat.
"Tiba-tiba hari ni mai Pemuda PAN Perak kata “kami telah terjah ladang babi”.
"Woi agak-agaklah. Nak malukan Tok Mat pun jangan selang sehari. Timbalan Presiden Umno kot. Kantoi bodoh je.
"Lain kali ajaklah Tok Mat terjah sekali ladang babi. Kesian dia tak jumpa cari ladang babi kat Dun Ayer Kuning ni. Aku tawar nak bawa, dia tak layan," sindirnya.
Pada Khamis lalu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, di daerah Batang Padang dan Muallim sahaja, terdapat 30 ladang babi berlesen.
Angka itu diperolehi berdasarkan maklumat daripada laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, jika ladang babi haram turut diambil kira, jumlah sebenar ladang yang beroperasi mungkin jauh lebih tinggi.
