Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi orang kuat Rafizi tumbang dalam pemilihan cabang PKR
Diterbitkan:  Apr 20, 2025 10:59 PM
Dikemaskini: Apr 21, 2025 3:08 AM

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir gagal mempertahankan jawatan sebagai ketua cabang PKR Johor Bahru.

Akmal merupakan pemimpin terbaru dalam kem Rafizi Ramli yang tewas dalam pemilihan cabang PKR setakat ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu memperoleh 587 undi, tewas kepada bekas Ketua AMK Johor Bahru, Taufiq Ismail yang meraih 709 undi.

Semalam, Naib Presiden PKR yang juga penyandang Ketua Cabang Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad tewas dalam pemilihan di peringkat cabang.

Nik Nazmi juga dikenali merupakan orang kuat Rafizi.

Antara pemimpin lain dari kem Rafizi yang pernah bertanding jawatan pusat pada pemilihan PKR 2022 tetapi tewas dalam pemilihan cabang kali ini ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.

Sekutu Rafizi yang setakat ini berjaya mempertahankan kedudukan ialah Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang yang menang tanpa bertanding di Tanjong Malim, serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Rafizi sendiri menang tanpa bertanding di Pandan.

Bagaimanapun keputusan pemilihan cabang PKR terus dipertikai, dengan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu dijadualkan bermesyuarat pada hari Rabu ini bagi membincangkan dakwaan tiada ketelusan dalam proses tersebut.

Sementara itu di Johor, Maszlee Malik kekal sebagai Ketua Cabang Simpang Renggam walaupun hanya memperoleh sekitar 40 peratus undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Di Tebrau pula, calon ‘underdog’ M Prakash mengejutkan dua penyandang – Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah – dalam persaingan sengit dengan hanya 37.5 peratus undi.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh pula menang tanpa bertanding di cabang PKR kawasan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS