Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Kg Baru: Bekas menteri tuntut pempengaruh tarik balik dakwaan
Diterbitkan:  Apr 21, 2025 2:40 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menuntut pempengaruh Rafidah Ibrahim untuk memohon maaf atau berdepan tindakan saman, berhubung isu tanah di Kampung Baru.

Khalid merujuk dakwaan Rafidah sebelum ini bahawa dia berniat memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta mahu menghapuskan tanah rizab Melayu bukan sahaja di Kampung Sungai Baru, tetapi di seluruh Kampung Baru.

Dalam sidang media hari ini, Khalid berkata tindakan itu terpaksa diambil kerana dakwaan yang dibuat Rafidah merupakan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.

Khalid berkata isu tanah di Kampung Baru berbeza dengan tanah rizab Melayu yang lain dan Rafidah tidak faham apa yang diperkatakannya,

“...Walaupun orang kata dia buat TikTok menarik tapi fakta semua ke laut. 

“Orang yang sebenarnya di sebalik masalah berhubung dengan Kampung Baru, iaitu (bekas Menteri Wilayah Persekutuan) Annuar Musa dia puji pula.

“Tapi pada masa sama dia juga memperlekehkan Annuar, di mana dia mendakwa ada tangan-tangan ghaib yang buat semua ini (berhubung isu tersebut). Seolah-olah Annuar dan (bekas menteri Wilayah Persekutuan) Shahidan Kassim ini buta dan bodohlah,” katanya yang juga pengerusi Amanah Wilayah Persekutan.

Rafidah membuat dakwaan itu dalam video yang dimuat naik di TikTok sebelum ini.

Dalam video itu, dia dilihat menaiki kenderaan mengelilingi kawasan Kampung Sungai Baru dan menggunakan pembesar suara untuk menyuarakan bantahan dan menggesa penduduk untuk kekal menetap di situ.

Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya telah menghantar surat tuntutan kepada Rafidah pada 17 April lalu bagi menuntutnya memohon maaf, menarik balik tuduhan dan membayar ganti rugi.

“Untuk hentikan perkara ini saya tak ada pilihan. Kalau tidak dia akan teruskan (membuat dakwaan).

“Kalau dia masih tak dapat surat tuntutan itu, manalah tahu dia lari atau pindah dan kalau tak dapat jumpa di rumahnya, kita akan serahkan di tengah jalan atau di mana-mana lokasi dia sedang buat siaran langsung Tiktok,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS