Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semoga hijrah ini diterima Allah sebagai amal soleh'
Diterbitkan:  Apr 21, 2025 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Muslimat PAS mengalu-alukan penyertaan bekas Exco Wanita Umno Malaysia, Dr Wan Norashikin Wan Nordin, ke dalam parti itu dan menganggap ahli politik terbabit sebagai berani.

Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh, berkata langkah diambil Wan Norashikin itu memberi kesan kepada parti dan menjadi bukti bahawa semakin ramai wanita Melayu Islam memilih haluan berkenaan.

Dakwa Nuridah, jumlah hadirin yang ramai pada majlis penyerahan borang keahlian Wan Norashikin baru-baru ini walaupun hujan lebat menunjukkan bahawa keinginan rakyat untuk kembali kepada "perjuangan Islam" semain meluas.

"Kepada Datuk Dr Wan Norashikin, kami mengalu-alukan kehadiranmu sebagai sebahagian daripada saf perjuangan Muslimat PAS.

"Bersama kita menyantuni rakyat, membina bangsa dan mengangkat martabat Islam.

"Semoga hijrah ini diterima Allah sebagai amal soleh, dan menjadi asbab bertambahnya kekuatan kita dalam menegakkan kebenaran," katanya dalam satu hantaran media sosial.

Penyertaan Wan Norashikin ke dalam PAS diumumkan semasa ceramah mega PN di Ayer Kuning pada Sabtu lalu. Borang permohonan menjadi ahli itu diserahkan sendiri oleh Wan Norashikin kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Selain pernah menjadi exco Wanita Umno Malaysia, Wan Norashikin, 52, juga pernah menjadi exco Perak di bawah kerajaan BN. Dia juga merupakan bekas Adun Kampung Gajah yang terletak dalam kawasan parlimen Pasir Salak.

Dia memenangi kerusi DUN Kampung Gajah pada 2018 namun gagal mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU berikutnya (2022) apabila kalah kepada calon PN, Zafarulazhan Zan, dari PAS.

Untuk rekod, Wan Norashikin mendirikan rumah tangga dengan Edi Razman Mohd Ismail sehinggalah suaminya itu meninggal dunia pada 2021. Pada 2024 Wan Norashikin bernikah dengan Muhammad Noor Farid Zainal yang merupakan calon PAS sekali gus PN untuk kerusi DUN Ayer Kuning dalam PRU lalu.

Muhammad Noor kalah kepada Allahyarham Ishsam Shahruddin dengan perbezaan 2,213 undi.

Nuridah berkata tindakan yang diambil Wan Nurashikin bukan sekadar bertukar parti tetapi menunjukkan kecintaan ahli politik terbabit kepada perjuangan Islam dan perpaduan ummah.

"Semoga kita semua dikurnia Allah, menjadi golongan hamba-Nya yang berjaya dunia dan akhirat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS