Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong mencadangkan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria supaya balik ke gua untuk menjalani kehidupan biasa dan menjauhkan diri daripada media sosial.
Ia selepas Razman yang mesra dengan panggilan Pak Teh memberi reaksi negatif terhadap karikatur yang disiarkan Woo yang menggambarkan pemimpin PAS itu sebagai badut.

“Saya tengok Pak Teh tidak dapat menerima diri sendiri daripada disindir, dan sakit hati terhadap gambar diri sendiri yang dijadikan bahan, malah minta rakan-rakan untuk marah sampai koyak, sehingga ugut nak ambil tindakan undang-undang dan minta campur tangan pihak berkuasa.
“Cadangan saya kepada Pak Teh, mungkin lebih sesuai balik ke gua untuk menjalani kehidupan biasa dan menjauhkan diri daripada media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Woo, Razman harus belajar daripada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang berterima kasih kepada Perikatan Nasional kerana mempromosikan karikatur dirinya dalam aksi menyuruh diam.

Semalam, Razman memberikan tempoh selama 24 jam kepada exco negeri berkenaan untuk meminta maaf atas tindakannya menghasilkan karikatur dirinya atau berdepan saman.
Woo berkata bahawa karikatur dan sindiran politik adalah norma politik di kebanyakan negara, dan Razman harus belajar menerimanya.
Tambahnya, PH juga sering menjadi bahan sindiran dan bahan lawak tetapi tidak bertindak balas dengan marah.
“PH pun selalu kena, tak koyak pun.
“Tanpa semua ini, mana akan wujudnya suara yang berbeda dan mana akan suburnya kebebasan bersuara dan berekspresi di tanah air ini?” soalnya.
