Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan Malaysiakini Nantha kembali bertugas lepas siasatan dalaman
Diterbitkan:  Apr 22, 2025 3:03 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Wartawan penyiasat Malaysiakini, B Nantha Kumar kembali bertugas selepas digantung sementara susulan siasatan dalaman berhubung dakwaan terhadapnya.

Nantha, yang digantung kerja dengan faedah penuh sejak 5 Mac lalu mula menyambung semula tugasnya semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Pengarah Malaysiakini memaklumkan pihaknya menerima dan meneliti dapatan serta syor panel siasatan domestik bebas yang ditubuhkan untuk menilai isu berkenaan dari segi disiplin dalaman.

“Antara langkah yang diambil, Malaysiakini akan memperkukuh dasar dalam beberapa aspek berkaitan kewartawanan siasatan,” menurut kenyataan itu.

Lembaga turut merakamkan penghargaan kepada tiga ahli panel bebas — Andrew Khoo, Masjaliza Hamzah dan Shamini Arumugam — atas masa dan komitmen mereka dalam menjalankan siasatan.

Panel tersebut ditugaskan menilai sejauh mana Nantha mematuhi protokol editorial dalam penyediaan laporan-laporannya.

Pada 14 Mac lalu, Nantha mengaku tidak bersalah di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 sebagai dorongan untuk tidak menerbitkan laporan lanjut berhubung pendedahan sindiket migran.

Wartawan veteran itu dikenali dengan siri pendedahan eksklusif mengenai sindiket pekerja migran sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS