Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet tak bincang gesaan MIC supaya henti guna istilah kuil haram

Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan permohonan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah kuil haram.

“Tak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini,” kata Fahmi Fadzil selaku jurucakap Kerajaan Perpaduan pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi, Putrajaya hari ini.

Fahmi diminta mengulas mengenai permohonan Saravanan yang mahu perdana menteri mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan supaya menghentikan penggunaan istilah kuil haram.

Saravanan yang juga bekas menteri pada Isnin mengemukakan rayuan itu susulan maklum balas daripada pihak pengurusan Hospital Taiping terhadap aduan berhubung sebuah tempat ibadat yang terletak di kawasannya.

Dalam jawapan rasmi bertajuk “Maklumbalas PCB 965228 - Aduan Kuil Haram”, Timbalan Pengarah Hospital Taiping Arni Nadhirah Abdul Hadi menyatakan bahawa tindakan lanjut sedang diambil mengikut tatacara yang sewajarnya.

Saravanan sebelum ini membantah sekeras-kerasnya bahasa yang digunakan, sambil menekankan bahawa banyak kuil ini telah wujud selama beberapa dekad - jauh sebelum penggubalan Kanun Tanah Negara pada tahun 1965.

Katanya, melabelkan rumah ibadat Hindu seperti itu sebagai "haram" amat menyinggung perasaan dan adalah tidak sensitif serta mengabaikan fakta sejarah dan budayanya.

“Majoriti kuil itu wujud sewaktu zaman penjajahan British dan Jepun,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS