Ratu pop tanah air, Siti Nurhaliza Tarudin tampil menjelaskan dia tidak menerima sebarang bayaran daripada kerajaan bagi persembahannya semasa sambutan Hari Raya Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, penyanyi tersohor itu berkongsi klip pendek dirinya di atas pentas, bersama penjelasan terhadap laporan media yang memetik pengguna media sosial mempersoalkan kos majlis rumah terbuka bertaraf bintang anjuran kementerian tersebut.
"Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.
"Saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” katanya.

Siti menegaskan penjelasan itu penting bagi menghentikan sebarang penyebaran berita tidak tepat yang mengaitkan namanya.
Fitnah berlarutan
"Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam.
“Seperti mana penjelasan saya, saya tidak minta apa-apa bayaran, saya datang sebagai tetamu dan saya menyanyi dengan rela hati.
"Saya rasa penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama/gambar saya dengan sesuatu yang tidak sahih beritanya,” katanya.
Penyanyi berkenaan yang telah memenangi pelbagai anugerah terkenal dengan sumbangannya dalam industri muzik tanah air dan sering diundang ke acara rasmi kerajaan dan swasta.
Netizen persoal perbelanjaan majlis
Terdahulu, ruangan komen di Facebook Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, menjadi sasaran kritikan netizen termasuk individu yang dipercayai petugas kesihatan sendiri.
Kebanyakan mereka mempersoalkan perbelanjaan untuk hiburan pegawai kementerian, sedangkan kakitangan kesihatan bergelut dengan kesan sekatan bajet.
Berdasarkan foto yang dikongsikan Dzulkefly, Siti Nurhaliza dilihat membuat persembahan bersama penyanyi legenda, Jamal Abdillah, bagi memeriahkan majlis yang berlangsung di Putrajaya itu.

Laporan Malaysiakini sebelum ini menyatakan Jamal bersetuju menyanyi pada majlis tersebut selepas menerima jemputan daripada Ketua Setiausaha KKM, yang menurutnya seorang kenalan.
Jamal turut menerima “sagu hati kecil” sebagai tanda penghargaan.
Selain persembahan vokal, turut kelihatan penari latar yang mengiringi persembahan kedua-dua artis terkenal berkenaan di pentas.