Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Pulai dimasukkan ke ICU lepas alami demam
Diterbitkan:  Apr 30, 2025 11:10 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri, Johor selepas mencatatkan paras oksigen rendah.

Memetik kenyataan pembantu Suhaizan, The Star melaporkan, pemimpin Amanah itu dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira jam 11 malam tadi.

Kata Mohamad Nizam Junait, sebelum itu Suhaizan mengalami demam panas dan paras oksigennya pula rendah, mendorong dia dimasukkan ke ICU berkenaan.

"Kita doakan sama-sama agar beliau sembuh segera," katanya.

Tambah Nizam, keadaan Suhaizan kini sudah stabil tetapi pelawat masih tidak dibenarkan sehingga dia dipindahkan keluar dari ICU.

Sementara itu Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, dipetik Sinar Online sebagai berkata, Suhaizan, 51, kini masih dalam pemerhatian rapi.

“Pagi ini keadaannya dilaporkan stabil dan beliau dalam keadaan sedar, tetapi masih dipantau rapi oleh pasukan perubatan di ICU,” katanya.

Sebelum menjadi ahli parlimen, Suhaizan pernah dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Johor di bawah pentadbiran PH selepas PRU 2018.

Dia terpilih mewakili kawasan parlimen Pulai untuk menggantikan penyandang, Allahyarham Salahuddin Ayub, yang meninggal dunia pada 23 Jul 2023.

Kekosongan kerusi Pulai terisi melalui pilihan raya kecil yang diadakan pada 9 Sept tahun berkenaan. Suhaizan menewaskan calon PN, Zulkifli Jaafar, dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS