Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah Sabah: Shafie kecam Adun terlibat dalam video pemberi maklumat
Diterbitkan:  May 1, 2025 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Presiden Warisan, Shafie Apdal mengecam ahli-ahli politik dalam rakaman video yang didedahkan oleh seorang pembocor maklumat berkaitan skandal rasuah di Sabah.

Shafie membandingkan tindakan yang diambil susulan pendedahan video tersebut dengan siasatan terhadapnya apabila mengkritik skandal 1MDB suatu ketika dahulu.

"Keluar video (Adun-Adun Sabah). Saya tak ada video, ditangkap saya. Dikasi baju oren saya,” katanya dalam ucapan di sebuah program Warisan di Papar, Sabah hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas beberapa video yang didedahkan seorang pemberi maklumat dan disiarkan portal Malaysiakini berkaitan perbincangan rasuah melibatkan lapan Adun di Sabah.

Tambah Shafie, rakyat Sabah berasa malu melihat wakil-wakil rakyat mereka terlibat dalam salah laku sedemikian.

Shafie berkata dia pernah dimasukkan ke lokap tanpa kemudahan asas selama berminggu-minggu apabila mengkritik bekas perdana menteri, Najib Razak, berkenaan kontroversi 1MDB.

Katanya, dia diperlakukan sedemikian meskipun dia merupakan bekas Naib Presiden Umno dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

‘Ismail pakai kot, saya baju oren’

Shafie turut membandingkan tindakan terhadapnya dan siasatan SPRM ke atas bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

"Ismail Sabri (kes) RM100 juta pakai coat. Saya pakai baju oren. Tidur di lantai saya. Tak ada bantal saya. Berminggu saya tidur di lantai. Ini bukan cakan bohong,” katanya.

Ismail Sabri kini merupakan suspek dalam siasatan SPRM berhubung perbelanjaan dan perolehan dana bagi aktiviti promosi serta publisiti di bawah inisiatif Keluarga Malaysia sepanjang tempoh menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata Ismail adalah suspek dalam siasatan tersebut, susulan penemuan kira-kira RM177 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas di yang disimpan di sebuah kondominium yang dijadikan sebagai ‘safe house’.

Pada Feb lalu, Shafie mempersoalkan mengapa tiada seorang pun yang terlibat dalam skandal di Sabah itu telah ditangkap.

Selepas pendedahan skandal tersebut hujung tahun lalu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata klip video itu mungkin berkaitan dengan sumbangan politik dan mengatakan bahawa gaji semata-mata tidak mencukupi bagi ahli politik.

Hajiji juga mendakwa pembocor maklumat itu sebagai sebahagian daripada kempen untuk menjatuhkan pentadbirannya.

Ahli perniagaan berusia 36 tahun itu turut dituduh menjadi sebahagian daripada kartel yang berhasrat memonopoli aktiviti perlombongan di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS