Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Buli di GiatMara kes lama, sudah selesai - Exco

Kes seorang pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) yang tular menjadi mangsa buli di GiatMara Durian Tunggal semalam ialah kejadian lama yang sudah pun diselesaikan antara mangsa dengan semua pelajar terlibat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Rahmad Mariman berkata kejadian berlaku pada Februari lepas, namun baru ditularkan dan berdasarkan siasatannya, pelajar yang terlibat sudah dipanggil oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Pihak Mara telah pun mengambil keterangan, malah semua pelajar terlibat juga telah meminta maaf dan mereka meneruskan kursus kemahiran, menjalani latihan loji dan kes terbabit dianggap selesai manakala pelatih yang didakwa dibuli itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini. 

Rahmad Mariman

Sementara itu, Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran dalam Facebooknya semalam berkata Mara tidak berkompromi terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal atau mental di mana-mana Institusi Pendidikan Mara (Ipma).

“Pengurusan Mara semua peringkat dan Ipma amat memahami prinsip saya ini. Tindakan paling tegas pasti akan diambil oleh pihak pengurusan jika didapati wujud salah laku dan jenayah buli terbabit,” katanya.

Media semalam melaporkan seorang pemuda memuat naik sebuah video mengenai pelajar OKU lelaki yang mempunyai masalah pembelajaran telah menjadi mangsa buli di GiatMara Durian Tunggal.

Menerusi video berdurasi dua minit itu, pemuda berkenaan mengakui terkejut apabila pelajar OKU terbabit yang baru dikenali di gelanggang badminton menceritakan kejadian itu kepadanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS