Amaran kepada semua pengerusi Umno negeri...
Lembaga Disiplin Umno memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pengerusi perhubungan Umno negeri-negeri yang dididapati cuba campurtangan untuk menentukan barisan perwakilan dalam pemilihan parti yang akan datang.
Lembaga Disiplin Umno memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pengerusi perhubungan Umno negeri-negeri yang dididapati cuba campurtangan untuk menentukan barisan perwakilan dalam pemilihan parti yang akan datang.
Jawatan pengerusi perhubungan Umno negeri disandang oleh Menteri Besar masing-masing kecuali di Pulau Pinang (Timbalan Ketua Menteri) dan Kelantan (Datuk Annuar Musa). Kelantan di perintah oleh PAS.
Pengerusi lembaga itu, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddin Ismail berkata begitu juga dengan ketua bahagian, ketua Pemuda Umno, ketua Wanita Umno dan ketua Puteri Umno.
"Kami mendapat laporan ada pengerusi perhubungan yang cuba campurtangan dalam pemilihan perwakilan kumpulan tujuh (G7) untuk ke Perhimpunan Agung Umno di ibu negara.
Setiap bahagian Umno menghantar 13 perwakilan, yang terdiri daripada kumpulan 6 (G6) dan G7. G6 terdiri daripada penyandang jawatan utama peringkat bahagian, manakala G7 dipilih sewaktu mesyuarat bahagian.
"Lembaga memandang serius perkara tersebut kerana ia boleh menhancurkan parti," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara petang tadi.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas pengerusi perhubungan Umno yang didapati cuba memanipulasikan pemilihan G7.
Beri bukti
Sehubungan itu, Tengku Ahmad Rithauddin meminta saksi yang mempunyai maklumat supaya tampil memberi bukti sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku.
Beliau berkata, Lembaga Disiplin Umno mempunyai 18 ahli yang berpengalaman untuk membuat siasatan terhadap aduan politik wang dan penyelewengan dalam pemilihan parti.
"Dalam pemilihan lalu, kita mendapat tahu ada bahagian, ketua bahagian memberi hadiah dalam mesyuarat bahagian pemuda, wanita dan puteri dan ini satu perkembangan yang tidak sihat.
"Bahagian atau ketua bahagian perlu berkecuali supaya ahli dapat memilih tanpa dipengaruhi oleh pihak lain," katanya.
Tengku Ahmad Rithauddin berkata, ahli lembaga menjalankan siasatan sepanjang masa dan bukannya hanya ketika pemilihan parti.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa pihaknya akan mengambil tindakan ke atas pemberi maklumat palsu yang membuat aduan mengenai politik wang dan salahlaku dalam pemilihan parti.
Surat layang
Amaran ini, katanya, kerana Lembaga Disiplin Umno tidak mahu menyiasat aduan-aduan yang tidak berasas atau yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap aduan tersebut.
"Kami menyiasat semua aduan tetapi ada juga yang menulis surat layang dan kes yang tidak cukup kuat tidak akan disiasat kerana ia membuang masa," katanya.
Menjawab soalan pemberita, Tengku Ahmad Rithauddin berkata, Lembaga Disiplin Umno tidak boleh menyiasat aduan dari parti lain terhadap mana-mana pemimpin Umno.
Contohnya, jelas beliau, lembaga itu tidak boleh menyiasat aduan dari ahli dan penyokong Parti Progresif Penduduk (PPP) terhadap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam .

