Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah zahir penghargaan, akan buat keputusan terbaik
Diterbitkan:  May 7, 2025 12:49 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Selepas mendapat sokongan padu atas cadangan pencalonan jawatan timbalan presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tampil menzahirkan penghargaan.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada akan menyahut seruan itu atau sebaliknya.

"Setulusnya, saya menghormati lagi menghargai pandangan akar umbi untuk saya bertanding bagi jawatan timbalan presiden PKR.

"PKR sedang berada dalam fasa penting. Justeru, segala keputusan yang bakal diambil haruslah mempertimbang bukan sahaja keperluan menyatu dan memperkukuh jalinan sesama sahabat seperjuangan, tetapi juga keperluan membawa nafas baharu dan perubahan bermakna demi memastikan parti ini terus relevan dan diyakini rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Nurul Izzah yang juga penyandang naib presiden PKR yang dilantik dicadangkan supaya bertanding jawatan timbalan presiden parti itu.

Sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh datang daripada pelbagai negeri, cabang dan sayap PKR.

Antaranya oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abd Halim dan beberapa kepimpinan di peringkat negeri.

Pemilihan PKR bagi jawatan di peringkat pusat dijadualkan berlangsung pada 22, 23 dan 24 Mei ini.

Penyandang timbalan presiden, Rafizi Ramli sebelum ini menyatakan hasrat mempertahankan jawatannya, atas alasan mahu mengelakkan perpecahan dalam parti itu.

Menteri ekonomi itu dikatakan bakal dicabar oleh bekas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Nurul Izzah berkata, dia akan memberi keputusan terbaik mengimbangkan antara kesepakatan, jalinan dengan persahabatan dan perubahan serta reformasi bermakna buat semua anggota.

"Kita beri kata putus bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi usaha membina masa depan PKR secara bersama di kala suka dan duka. Insya-Allah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS