Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN bekerjasama dengan PH Plus hadapi PRN Sabah
Diterbitkan:  May 8, 2025 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

BN menumpukan usaha untuk memperkuatkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama politik di negeri itu akan melibatkan BN dan PH Plus untuk membina kesepakatan yang utuh.

“Kita serah kepada kebijaksanaan BN Sabah dengan panduan dari pusat untuk mencari jalan bijaksana bagi menentukan dominasi kesepakatan ini,” katanya kepada media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Terdahulu Ahmad Zahid menghadiri majlis perasmian Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais Asean (AFC).

Ditanya mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ahmad Zahid, berkata BN sentiasa terbuka untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik kerana mereka mengamalkan prinsip "membuka pintu seluas-luasnya dan tidak menutup pintu serapat-rapatnya".

“Ertinya masih ada ruang yang luas bagi jalinan kerjasama jaringan politik di Sabah,” katanya.

Mengenai pembahagian kerusi, Ahmad Zahid menyifatkan perkara itu masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana rundingan secara terperinci mengenainya akan dilakukan kelak.

“Terlalu pramatang untuk buat keputusan dan kita akan buat rundingan secara terperinci mengenai pembahagian kerusi dewan undangan negeri yang bakal kita tanding,” katanya.

Sebelum ini BN Sabah mengesahkan akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN ke-17 yang dijangka dilangsungkan tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir dilaporkan berkata baki 33 kerusi lagi akan diberikan kepada PH.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS