Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ini cara kita layan atlet?' - MCA kritik kes Faisal Halim diklasifikasi NFA
Diterbitkan:  May 9, 2025 12:26 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Pemuda MCA mengkritik keputusan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Abdul Halim sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ketua penerangannya Neow Choo Seong berkata kes itu tidak boleh dibiarkan ditutup.

“Jika beginilah cara kita melayan atlet terbaik negara, apakah harapan yang tinggal untuk anak muda Malaysia yang bercita-cita membina kerjaya dalam bidang sukan?

“Keadilan mesti ditegakkan. Kes ini mesti terus dibuka.

“Menutup fail sekarang menghantar mesej yang salah — seolah-olah pelaku boleh menyerang tokoh awam tanpa dikenakan sebarang tindakan, dan sistem gagal melindungi mangsa — hatta wira negara seperti Faisal,” kata Neow dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, peguam Faisal meluahkan rasa kesal terhadap hasil siasatan kes serangan asid terhadap pemain itupada 5 Mei tahun lalu.

Peguam dari firma guaman Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co menggesa pihak berkuasa tidak membiarkan kes itu lenyap begitu sahaja dan memperhebat usaha memburu pelaku sebenar.

"Jangan tutup kes ini, beri keadilan kepada Faisal Halim kerana meskipun beliau sudah bermain semula, tetapi semestinya ini satu kecederaan serius.

"PDRM mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum 20 tahun.

"Ini satu kesalahan serius. Hasil siasatan itu tidak membawa kepada mana-mana orang untuk ke muka pengadilan jadi beliau tidak mendapat keadilan.

"Bagi kita, jangan tutup kes ini dan pihak berkuasa kena teruskan siasatan untuk menangkap pelaku. Kami percaya pada PDRM, kenapa NFA dan berhenti di sini?" soal peguam Mohd Haijan Omar.

Calar imej Malaysia

Dalam pada itu, Neow turut menyifatkan keputusan itu bukan sahaja satu tamparan hebat kepada Faisal dan keluarganya, malah satu detik malang dalam pembangunan sukan negara.

“Faisal terselamat daripada serangan yang mengerikan sehingga mengalami lecur tahap empat, menjalani pelbagai pembedahan, dan kehidupannya berubah selama-lamanya.

“Walaupun beliau kembali bersukan dengan penuh keberanian, trauma yang dialaminya tidak boleh dan tidak patut diketepikan,” tambahnya.

Neow juga mengingatkan kerajaan bahawa insiden ini boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi selamat bagi acara sukan antarabangsa.

“Bagaimana kita mahu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia, menarik atlet antarabangsa, atau membangunkan sektor sukan, jika jenayah serius terhadap atlet boleh berlaku tanpa sebarang pertanggungjawaban?

“Tindakan membisu sebegini hanya akan menggalakkan pelaku dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan jenayah negara,” katanya lagi.

Selain Pemuda MCA, PAS dan Amanah turut mengkritik keputusan pihak berkuasa dalam isu itu, dengan PAS menggesa kerajaan memberikan penjelasan di Parlimen.

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, juga mencadangkan agar Faisal memfailkan saman terhadap pihak polis atas kecuaian awam (public misfeasance).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS