Siti Aishah Wahab, wanita warga Malaysia yang melarikan diri daripada sebuah kumpulan kultus Maois di South London selepas lebih 40 tahun dikurung, telah meninggal dunia di Leeds pada usia 81 tahun.
Menurut New Straits Times, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir semalam di Rumah Penjagaan Gledhow di Leeds selepas menderitai barah limfoma.
Barah tersebut telah merebak ke otaknya pada Mac lalu, menyebabkan dia dimasukkan ke hospital sebelum dipindahkan ke penjagaan paliatif.
Aishah berangkat ke United Kingdom pada usia awal 20-an untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ukur bahan.
Namun, dia dipengaruhi dengan individu yang menggelarkan dirinya sebagai pemimpin Maois, Aravindan Balakrishnan dan menghabiskan lebih empat dekad di bawah kawalannya autoritariannya di sebuah komun yang dikawal ketat – situasi yang secara meluas digambarkan sebagai perhambaan moden.
Pada 2016, Aravindan, yang lebih dikenali sebagai Komrad Bala, didapati bersalah atas kesalahan serangan seksual dan penderaan terhadap ahli-ahli wanita kumpulan itu dan kemudian meninggal dunia di Penjara Dartmoor pada April 2022.
Berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan, Aishah akhirnya diselamatkan pada 2013 melalui satu operasi dramatik yang mendapat liputan antarabangsa.
Dia kemudiannya bersatu semula dengan adik-beradiknya di Malaysia dan memulakan hidup baru di Leeds dengan sokongan pihak berkuasa tempatan.
Walaupun mengalami trauma psikologi akibat pengasingan selama berdekad lamanya, dia perlahan-lahan kembali menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Menurut New Straits Times, Siti Aishah kembali mendekati agama Islam di Masjid Besar Leeds, menjalin persahabatan baru, dan berjaya menunaikan impiannya untuk menunaikan umrah.
Laporan itu turut menyatakan Aishah mendaftar untuk pengajian Bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Leeds pada usia 79 tahun.
Pada September lalu, dia dianugerahkan Diploma Pengajian Tinggi dengan Kepujian dalam Pengajian Arab dan Timur Tengah – pada bulan yang sama dia disahkan menghidap limfoma.
“Dia sentiasa berharap apabila meninggal dunia, jenazahnya akan dibawa ke masjid tempat dia kembali mendekati agamanya dan menemui komuniti sahabat yang baru,” kata Rafidah, seorang rakan rapat Aishah seperti dipetik laporan itu.
Menurut laporan itu, Siti Aishah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Muslim Whinmoor selepas sembahyang jenazah di Masjid Besar Leeds hari ini.
