Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN: GRS sedia bergerak solo lawan PH, BN - Hajiji
Diterbitkan:  May 9, 2025 8:36 PM
Dikemaskini: May 10, 2025 12:34 AM

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor berkata gabungannya bersedia bertanding secara solo pada pilihan raya negeri akan datang sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan BN bekerjasama.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia menegaskan bahawa parti Sabah mesti menjadi teras kerajaan negeri.

"Kita berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat - tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.

"Sekiranya keputusan muktamad PH dan BN adalah untuk bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji mengulas kenyataan bersama Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki bahawa BN dan PH telah bersetuju untuk bekerjasama dalam PRN akan datang.

“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepimpinan PH dan BN Sabah.

“Segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat kebangsaan,” kata kenyataan itu.

PRN Sabah ke-17 mesti diadakan pada atau sebelum 8 Dis.

Sementara itu, Hajiji - yang juga ketua menteri Sabah - berkata GRS akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk memutuskan hala tuju dalam menghadapi PRN.

Ia juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak lain dalam pentadbirannya untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS