Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump mahu AS capai 'perjanjian besar' sebelum temui China
Diterbitkan:  May 10, 2025 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Presiden AS Donald Trump hari ini berkata AS perlu mencapai "perjanjian besar untuk Amerika" apabila setiausaha perbendaharaannya bersiap untuk bertemu dengan pegawai China di Switzerland, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih, Trump berkata, mereka perlu membuat perjanjian besar untuk AS.

Dia ditanya mengenai perbincangan yang akan diadakan oleh Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dengan rakan sejawatnya dari China.

Apabila ditanya adakah dia akan kecewa sekiranya Bessent pulang tanpa sebarang perjanjian, Trump menjawab: "Tidak, sama sekali tidak. Kami telah membuat banyak tawaran."

Trump menambah AS pada masa ini tidak menjalankan perniagaan dengan China, malah mendakwa negara itu mengalami kerugian perdagangan sebanyak AS$1 trilion tahun lalu.

"Jika anda tidak berurus niaga dengan mereka, anda tidak akan kehilangan AS$1 trilion," katanya.

Perundingan yang dijadualkan esok adalah sebahagian daripada usaha untuk meredakan ketegangan selepas Washington mengenakan tarif sehingga 145 peratus ke atas barangan import China awal tahun ini.

Sebagai balasan, Beijing mengenakan tarif balas setinggi 125 peratus.

Apabila ditanya mengenai kenyataan jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt yang baru-baru ini mengatakan bahawa tarif asas 10 peratus ke atas kebanyakan negara akan terus dikenakan, Trump mengesahkan dasar tersebut.

"Anda akan sentiasa mempunyai garis dasar.

"Mungkin ada pengecualian pada satu ketika... jika seseorang melakukan sesuatu yang luar biasa untuk kami.

“Tetapi pada asasnya, anda mempunyai garis dasar sekurang-kurangnya 10 peratus, dan sebahagian daripadanya akan jauh lebih tinggi – 40, 50, 60 peratus – seperti yang mereka lakukan kepada kami selama bertahun-tahun," katanya.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS