Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengku Zafrul sah ketuai BAM, azam bawa khabar gembira
Diterbitkan:  May 10, 2025 3:06 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz kini secara rasmi bergelar presiden baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tengku Zafrul dipilih secara sebulat suara menduduki kerusi nombor satu BAM selepas tidak dicabar mana-mana pesaing pada sesi pemilihan yang dijalankan di Kuala Lumpur hari ini.

Pemilihan itu dilangsungkan bersekali dengan mesyuarat agung tahunan BAM kali ke-80.

Tengku Zafrul yang bersyukur diberi mandat dan kepercayaan oleh ahli majlis BAM menyifatkan ia sebagai amanah dan penghormatan besar dan akan digalasnya dengan penuh dedikasi bagi memperkasa persatuan itu menjadi entiti yang disegani di dalam mahupun luar negara.

“Bagi saya ini adalah satu penghormatan yang besar dan amanah ini akan saya galas dengan penuh tanggungjawab, dedikasi serta keazaman untuk melihat sukan badminton negara terus cemerlang di persada dunia.

“Saya akan gunakan pengalaman saya di sektor swasta dan kerajaan untuk memastikan pengurusan BAM terus diperkasa dan persatuan ini menjadi institusi sukan contoh bukan saja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu senator berkenaan juga memohon diberi tempoh 100 hari bagi mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh, pemain, barisan kejurulatihan dan penaja sebelum merangka pelan strategik dan efektif untuk kemajuan sukan badminton negara.

Tengku Zafrul berkata dia memerlukan tempoh masa itu untuk memahami dan meneliti cadangan atau isu yang membelenggu sukan badminton negara kerana percaya pendekatan berkenaan antara kunci membina perancangan yang komprehensif dan realistik.

“Selepas tempoh 100 hari ini, insya-Allah saya akan bentangkan visi strategik dan pelan tindakan komprehensif saya bersama pasukan kita,” katanya.

Biarpun menyedari bebanan dan harapan tinggi yang diletakkan peminat sukan tanah air terhadap badminton, Tengku Zafrul berkata, dia sedia mengambil cabaran itu termasuk cuba menjelmakan emas sulung negara pada Sukan Olimpik kelak.

“Saya bersedia menghadapi cabaran dan saya rasa ini adalah cabaran, yang jika kita merancang dengan betul dan melaksanakan dengan betul, ia adalah cabaran yang boleh kita hadapi dan berjaya,” katanya.

Tengku Zafrul yang menjadi presiden ke-13 BAM pada masa sama memaklumkan bekas pemangku presiden, V Subramaniam, dilantik semula sebagai timbalan presiden 1 manakala Jahaberdeen Mohamed Yunoos kekal menyandang timbalan presiden 2.

Dia juga mengambil peluang menghargai jasa dan sumbangan bekas presiden Mohamad Norza Zakaria yang berjaya meletakkan asas penting untuk BAM terus bergerak ke hadapan.

Justeru Tengku Zafrul menyeru semua pihak berkepentingan memberikan sokongan padu kepadanya dan barisan kepimpinan BAM dalam usaha mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa depan.

Pada Mac lalu Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baru.

Pada awal tahun lepas, Tengku Zafrul hampir dilantik menjadi presiden BAM bagi menggantikan Mohamad Norza yang pada mulanya bercadang untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Mohamad Norza mempertimbangkan semula keputusan tersebut dan kekal memegang jawatan berkenaan sehingga Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Selepas temasya itu berakhir, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai pemangku presiden sehingga AGM kali ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS