Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Adakah GRS akan buat pusingan U dan kerjasama dengan PH-BN?’
Diterbitkan:  May 12, 2025 1:15 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Seorang pemimpin Warisan mempersoalkan jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengikut saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan PH dan BN dalam PRN Sabah akan datang, atau bertanding secara solo.

Dalam kenyataan hari ini, Adun Sri Tanjong Justin Wong seperti menggambarkan Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Hajiji Noor sedang berada dalam keadaan serba salah.

“Sekiranya Hajiji membantah atau mengingkari arahan Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan PH dan Umno-BN bagi menghadapi PRN Sabah, tidak dapat bayangkan akibat kepada Hajiji, Speaker DUN dan lapan Adun GRS yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah lesen mencarigali mineral.

“Jika Hajiji membuat pusingan-U dan memilih untuk bekerjasama dengan PH dan Umno-BN, terbukti dia tidak mempunyai prinsip sama sekali. Hajiji sanggup menggadaikan kepentingan serta kedaulatan Sabah hanya untuk menyelamatkan dirinya dan kroninya,” kata Wong, sambil menambah rakyat Sabah kini sedang menunggu langkah Hajiji yang seterusnya.

Wong turut mengingatkan yang GRS mungkin menghadapi masalah sekiranya Hajiji memilih untuk bekerjasama dengan PH-BN kerana parti-parti dalam gabungan itu mungkin tiada cukup kerusi dan calon untuk diturunkan.

Media sebelum ini melaporkan BN dan PH telah bersetuju untuk bekerjasama dalam PRN Sabah, seperti yang dimaklumkan melalui satu kenyataan bersama oleh Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail.

Sebagai respons, Hajiji berkata GRS sedia untuk bertanding secara solo dan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan parti-parti tempatan yang mempunyai pendirian yang sama, sekiranya keputusan muktamad PH dan BN adalah untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri.

"Kita berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat - tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.

"Sekiranya keputusan muktamad PH dan BN adalah untuk bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan,” kata Hajii pada 9 Mei lalu.

Hajiji turut menyatakan GRS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan hala tuju gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya.

Terdahulu, Hajiji menafikan dakwaan rasuah terhadapnya dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjejaskan pentadbirannya.

Semalam, Anwar berkata kerjasama antara PH, BN dan GRS dalam PRN Sabah akan datang penting demi kestabilan negara dan politik negeri.

Namun, pengerusi Harapan itu berkata perbincangan antara peringkat negeri ketiga-tiga gabungan masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

Sabah perlu mengadakan PRN selewat-lewatnya pada Disember tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS