Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau Izzah kalah orang akan kata Anwar ditolak parti sendiri - Rafizi

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata mesej yang salah akan diberikan kepada rakyat sekiranya pencabarnya Nurul Izzah Anwar tewas dalam persaingan bagi merebut jawatan nombor dua dalam parti itu.

Berucap dalam satu ceramah di Kedah malam tadi, Rafizi berkata PKR bakal berdepan risiko jika Nurul Izzah tewas dalam pemilihan tersebut memandangkan dia merupakan anak kepada presiden parti, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kekalahan Nurul Izzah akan menyebabkan imej buruk kepada PKR, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Kalau contohnya Izzah kalah, apa mesejnya kepada rakyat? Contohnya mesejnya ialah anggota PKR menolak Anwar Ibrahim.

"Kalau kalah..jadi sebab itu Nurul Izzah mesti menang. Dia mesti menang sebab kalau kalah itu, kita akan masuk pilihan raya dalam keadaan yang kita tak boleh gambarkan berdepan pembangkang dan polemik politik dalam dan luar kerajaan.

"Kerana orang akan kata, Nurul Izzah kalah bermakna Anwar ditolak parti sendiri, jadi akhirnya apa pilihan saudara saudari ada?” katanya.

Ceramah di Kedah itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah kempen Rafizi yang dinamakan Jelajah Hiruk.

Menteri Ekonomi itu kini mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan akan menentang Nurul Izzah dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan pada 23 Mei ini.

Nurul Izzah kini menyandang jawatan Naib Presiden PKR, yang diberikan kepadanya melalui lantikan pada tahun 2022.

Dalam pada itu Rafizi berkata dia tidak mahu melihat PKR melalui pelbagai konflik dalam pemilihan parti, yang akhirnya akan menyebabkan parti itu tewas teruk dalam pilihan raya umum.

Rafizi turut menyalahkan sesetengah pemimpin parti itu kerana mendesak Nurul Izzah bertanding jawatan nombor dua itu, dengan mengatakan mereka telah mencetuskan masalah dalam parti.

‘Ada yang lebih sudu dari kuah’

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, situasi ini timbul akibat pihak tertentu dalam parti yang mahu menyingkirkan ketua-ketua cabang yang cenderung menyokongnya.

"Parti tenang, keadaan dia tak ada isu, hanya kerana dalam pemilihan 2022 banyak ketua-ketua cabang yang menang di bawah ini menyokong gagasan Ayuh Malaysia yang saya bawa.

"Tiba-tiba kita jadi kerajaan, ada yang lebih sudu dari kuah tiba-tiba kata 'kita kena tukar dia orang semua ni kerana kita kena pastikan bahawa akar umbi kita 100 peratus bersama presiden'. Benda tu tak pernah timbul pun.

"Presiden pun dah kata, kalau di MPP (Majlis Pimpinan Pusat) dan dalam biro politik, nombor satu dan nombor dua tak payah bertandinglah. Kita nak mengekalkan ketenangan ini. Benda tu semua dah tau dah,” katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan nepotisme, Rafizi meminta penyokong Nurul Izzah agar tidak memperlekeh kebijaksanaan rakyat.

"Yang penting macam mana rakyat boleh menilai dan akhirnya melekat pada kepala rakyat bila nak masuk pilihan raya.

“Cuma saya nak nasihatkan, kalau orang nak mempertahankan keputusan Izzah masuk bertanding, jangan bagi kenyataan-kenyataan yang rakyat rasa itu memandang hina kepada pandangan dia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS