Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM tubuh jawatankuasa teliti isu vape di kalangan pelajar sekolah

Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu rokok elektronik atau vape terutama melibatkan pelajar sekolah, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata ia susulan beberapa kes tular di media sosial mengenai penggunaan vape yang bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah, sebaliknya meragut nyawa pengguna peranti elektronik itu.

“Mereka (anggota jawatankuasa) akan bermesyuarat dalam waktu terdekat, seterusnya akan dapat memberikan beberapa pandangan serta syor kepada saya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di Putrjaya hari ini. 

Dia berkata Bahagian Kesihatan Awam (BKA) KKM sedang meneliti impak penguatkuasaan dan perundangan sedia ada melibatkan vape.

“Hasil penelitian dan perbincangan akan dibentangkan kepada jawatankuasa ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari dan pakar perunding kesihatan awam Prof Dr Lokman Hakim Sulaiman,” katanya. 

Dzulkefly berkata pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) turut menjadi antara faktor kepada penubuhan jawatankuasa itu bagi membendung penggunaan vape.

“Ketika ini, kita meneliti kepada impak atau peraturan sedia ada dan juga pemantauan kepada kes-kes yang melibatkan vape,” katanya.

Baru-baru ini tular di laman sosial kandungan video berdurasi kira-kira 10 saat memaparkan sekumpulan pelajar sekolah sedang menggunakan peranti elektronik itu di kawasan surau serta perkongsian video daripada seorang individu yang mendakwa mengalami masalah kesihatan akibat ketagihan vape sebelum meninggal dunia Rabu lepas.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS