Seorang pemimpin DAP membidas ahli parlimen PKR kerana menganggap ahli politik terbabit mengheret partinya dalam isu politik wang semalam.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Wong Shu Qi, berkata parti itu mengadakan kongresnya baru-baru ini di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam saja, dan bukannya di hotel mewah.
“Lainlah kalau ada penarafan lima bintang baru untuk pusat konvensyen yang saya tidak tahu.
“Saya tak pasti dari mana dakwaan ‘acara hotel’ itu datang,” katanya dalam hantaran di media sosial malam tadi.
Ahli Parlimen Kluang itu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Wong Chen, berkenaan perubahan parti-parti politik dalam PH yang dianggapnya berubah.
Wong yang juga Ahli Parlimen Subang dipetik sebagai berkata, perjuangan asal PKR dan DAP kini dilihat “luntur” dan mula terjebak dalam amalan politik wang.
Kerosakan itu, dakwa Wong, semakin ketara apabila parti terbabit mengadakan pemilihan dalaman.
"Kita kini menghadapi budaya politik yang rosak, dan politik wang telah menular, seperti yang anda dapat lihat semasa tempoh pemilihan DAP dan PKR," katanya dalam ucapan sempena pelancaran sebuah buku di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Shu Qi, pelbagai amalan yang dilaksanakan dalam DAP selama ini masih kekal seperti setiap wakil rakyat mereka menyumbang 15 peratus daripada elaun bulanan masing-masing kepada parti.
"Begitulah cara kami memastikan lampu ibu pejabat menyala. Ia sekadar komitmen gaya lama," tambahnya.
Merujuk pemilihan pimpinan pusat PKR yang akan datang, Shu Qi mengakui bahawa persaingan cenderung untuk memanaskan keadaan namun berharap ia tidak mengheret sama parti rakan masing-masing.
"Pemilihan memang sengit, kami faham.
“Tetapi sebagai rakan dalam gabungan yang sama, kami lebih suka untuk tidak terperangkap dalam pertembungan sesama sendiri ketika kami tidak mencampuri urusan pihak lain,” katanya.