Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadangan naik gaji MP tak kena keperluan semasa, realiti rakyat - Pemuda Bersatu
Diterbitkan:  May 15, 2025 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Pemuda Bersatu menentang cadangan ahli parlimen PKR baru-baru ini untuk menaikkan gaji ahli parlimen, menyifatkan cadangan itu tidak bertepatan dengan keperluan semasa negara dan realiti rakyat.

Mengkritik cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Subang Wong Chen baru-baru ini, Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu Mohd Fahim Mohd Farid menyarankan agar tumpuan sebaliknya diberikan dalam menangani ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan parlimen.

"Negara sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang amat membebankan, harga barang melambung, subsidi disasar, cukai diperluas, dan peluang pekerjaan tidak stabil.

"Dalam keadaan sebegini, apa logiknya cadangan menaikkan gaji ahli politik? Sebaliknya, isu sebenar yang sepatutnya menjadi fokus adalah ketidaksaksamaan dalam agihan peruntukan ahli parlimen," katanya.

Dia mendakwa bahawa walaupun ahli parlimen kerajaan menerima peruntukan tahunan sebanyak RM3.8 juta, RM300,000 dalam pembiayaan pengurusan pejabat dan akses kepada pelbagai kemudahan kerajaan, pembangkang mereka menerima “kosong, tiada satu sen pun” daripada wang tersebut.

"Perlu juga diingat bahawa majoriti ahli parlimen PN mewakili kawasan majoriti Melayu, iaitu komuniti yang kini paling terkesan dengan tekanan ekonomi dan keperluan asas.

"Namun, peruntukan terus disekat bukan kerana gagal bekerja, tetapi hanya kerana mereka pembangkang. Lebih mengecewakan, ketika Akta Perkhidmatan Parlimen dibentangkan baru-baru ini, tiada pun penyelesaian tuntas diberikan terhadap isu peruntukan tidak seimbang ini.

"Akta tersebut, yang dikatakan sebagai langkah reformasi, hanyalah kosmetik. Langsung tidak menyentuh isu struktur sebenar yang perlu diperbetulkan jika kerajaan benar-benar mahu memartabatkan Parlimen," kata Fahim.

Semalam, Wong berkata ahli parlimen berhak menerima gaji yang lebih tinggi daripada kadar semasa mereka kerana mereka kini "gaji rendah" sementara perlu menyara bukan sahaja keluarga, tetapi juga pegawai dan kakitangan mereka.

Menyorot bahawa Singapura membayar gaji yang lebih tinggi kepadawakil rakyat, Wong berkata menjadikan kehidupan ahli parlimen "lebih selesa" sambil menyediakan sumber untuk melakukan kerja akan memastikan mereka dapat melaksanakan tugas "secara terhormat".

Dia juga menggesa peruntukan yang lebih adil bagi dana pembangunan kawasan pilihan raya, menegaskan bahawa pembiayaan sedemikian harus diberikan sama rata kepada ahli parlimen pembangkang untuk mengurangkan risiko lompat parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS