Kenyataan penyandang timbalan presiden PKR Rafizi Ramli bahawa dia sedia untuk meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi jika tewas dalam pemilihan PKR kali ini disifatkan sama seperti Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) Mustapa Mansor menyorot pendekatan Rafizi itu seperti sikap bekas perdana menteri itu.
“kami ini otai-otai ibaratnya kalau lihat ikan di air, kita sudah tahu lah jantan atau betina.
“Ada orang cakap lurus, ada orang cakap kiri, ada juga yang cakap ke kanan, tujuan cakap itu lain, matlamatnya lain,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
“Orang politik (berucap) memang begitu…(tetapi) tak bolehlah pimpinan parti (cakap) ‘kalau tak terima saya, saya nak letak jawatan’,” katanya lagi, merujuk kepada Rafizi.
Menurutnya, sikap sedemikian pernah ditunjukkan Mahathir ketika menjadi perdana menteri ketujuh bersama PH.
Mustapa diminta mengulas mengenai kenyataan Rafizi berhubung kemungkinan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi jika tewas di tangan Nurul Izzah.

Rafizi berkata langkah itu akan memberikan lebih banyak masa dan lebih bebas bersuara dalam pelbagai isu.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata pihaknya tidak ingin tahap kepimpinan PKR yang sama seperti Mahathir yang menurutnya bukanlah sesuatu yang sihat.
“Kalau macam ini, esok dia jadi perdana menteri, kalau orang tak sokong dia akan letak jawatan.
“(Sikap seperti) Mahathir itu yang jadi masalah kepada kita sebab dia buat keputusan sendiri.
“Kita tak mahu tahap kepimpinan kita sama dengan tahap Mahathir yang sudah tak beberapa nak sihat. Takkan kita yang masih muda, segar nak buat macam itu,” katanya.
Justeru, dia menyuarakan sokongan terhadap Nurul Izzah dengan menegaskan kemenangan bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu dapat memastikan PKR terus stabil.