Seorang bekas guru pusat jagaan kanak-kanak hari ini mengaku bersalah atas tuduhan merosakkan sebuah kenderaan milik pusat khidmat Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan di Batu Pahat, Johor.
Mahkamah Majistret Batu Pahat menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 kepada Azrie Abul Hassan Ashari, 37, atau penjara 12 bulan jika gagal membayarnya.
Menurut Harian Metro, majistret Arun Noval Dass turut memerintahkan Azrie membayar pampasan tambahan sebanyak RM5,000 kepada pusat khidmat Aminolhuda atau berdepan hukuman penjara tambahan selama empat bulan.
Azrie dituduh melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan bernilai RM7,530 ke atas sebuah Toyota Estima di Dewan Haji Aminolhuda di Parit Yaani, Batu Pahat sekitar jam 11 pagi pada 10 Mei lalu.
Pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selepas dijatuhkan hukuman, Azrie dilaporkan telah memohon kebenaran mahkamah untuk bertemu dengan Aminolhuda, yang hadir semasa prosiding tersebut, bagi menyampaikan permohonan maaf atas tindakannya.
Pada 12 Mei lalu, Aminolhuda yang juga pengerusi Amanah Johor dalam satu hantaran di media sosial menunjukkan kerosakan ke atas Toyota Estima tersebut yang dilakukan oleh suspek.
Suspek ditahan polis tidak lama selepas laporan dibuat.
Ujian air kencing turut mendedahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Menurut Aminolhuda, lelaki berkenaan telah memukul cermin hadapan MPV itu dengan objek sekurang-kurangnya 17 kali, menyebabkan kerosakan kepada pengelap cermin, cermin sisi, cermin belakang dan beberapa bahagian lain.