PKR memerlukan barisan kepimpinan terbaik serta strategi realistik untuk memperkukuh jentera pilihan raya dalam usaha menambah jumlah kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU akan datang, kata naib presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata keyakinan terhadap kemampuan parti untuk melonjak ke tahap lebih tinggi dapat dicapai sekiranya kombinasi kepimpinan yang betul dapat digerakkan bersama tokoh-tokoh utama parti.
“Kita perlukan tokoh-tokoh yang terbaik untuk memantapkan jentera pilihan raya. Insya-Allah, kalau kena pada gaya kali ini, kita dapat pergi ke tahap yang seterusnya,” kata Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Dia berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (Hiruk) Zon Kelantan dan Terengganu di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjong Chat, Kota Bharu malam tadi.
Nik Nazmi berkata walaupun ada pihak menyasarkan kemenangan besar mencecah 80 hingga 90 kerusi Dewan Rakyat, PKR perlu bertindak berlandaskan kepada realiti semasa, iaitu memiliki hanya 30 kerusi sekarang dengan pencapaian terbaik parti setakat ini ialah 47 kerusi.
“Kita kena tengok secara realistik. Daripada 30 kerusi sekarang, nak pergi ke mana? Apa sasaran yang betul dan bagaimana strategi untuk bawa kita ke situ?
“Saya yakin, insya-Allah kalau kita ada kombinasi kepimpinan yang betul, kita akan dapat melakar strategi berkenaan,” katanya.
Nik Nazmi turut menekankan peranan penting Kelantan dalam membantu menyumbang kepada peningkatan jumlah kerusi parlimen untuk PKR dan PH secara keseluruhan.
“Kalau kita nak sampai 50 kerusi ke atas, mahu tidak mahu Kelantan perlu menyumbang kepada kerusi parlimen untuk Keadilan (PKR) dan PH.
“Kelantan tidak boleh tertinggal dan saya rasa masanya sudah tiba. Kesedaran sudah ada, masanya sudah tepat,” katanya.
- Bernama
