Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMK minta Rafizi pertimbang semula keputusan tak rasmikan kongres sayap
Diterbitkan:  May 18, 2025 3:36 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Pemuda PKR meminta penyandang timbalan presiden parti itu Rafizi Ramli mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak merasmikan kongres nasional sayap pemuda dan wanita PKR pada 22 Mei.

Mengesahkan bahawa Pemuda PKR telah menerima salinan surat Rafizi yang dihantar kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai keputusan menolak jemputan merasmikan kongres sayap itu, penyandang Ketua Pemuda PKR Adam Adli berkata sayap itu merayu agar Rafizi mengubah fikirannya.

"Buat masa ini saya boleh mengesahkan bahawa ada menerima salinan surat beliau kepada presiden yang menyatakan hasrat beliau untuk tidak merasmikan Kongres AMK (Pemuda PKR) dan Wanita walaupun telah dipersetujui sejak awal.

"Kami bagaimanapun sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan beliau semula, sesuai kedudukannya sebagai timbalan presiden. Kehadiran beliau sebagai perasmi melengkapkan tradisi kongres," kata Adam kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh memberitahu Malaysiakini bahawa "belum disahkan" sama ada Rafizi akan merasmikan majlis itu atau tidak.

Semalam, Malaysia Gazette melaporkan bahawa Rafizi telah menghantar surat kepada Anwar memaklumkan mengenai pendiriannya untuk tidak memenuhi jemputan sayap parti bagi merasmikan kongres mereka.

Tindakan itu dikatakan dikaitkan dengan peningkatan sokongan terhadap pencabar tunggal Rafizi untuk jawatan timbalan presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, yang akan mengekalkan kedudukannya sebagai naib presiden parti.

Dilaporkan juga bahawa pendirian Rafizi terhadap jemputan itu ada kaitan dengan tindakan PKR Sabah memilih untuk tidak menjemputnya bagi pelancaran jentera pilihan raya di Kota Kinabalu semalam.

Sekurang-kurangnya 21 daripada 25 cabang PKR di negeri itu dikatakan menyokong Nurul Izzah dan Amirudin, dengan beberapa ahli didakwa mempertikai sikap "tidak profesional" Rafizi menjelang pemilihan parti pada 23 Mei.

Satu lagi sumber memberitahu Scoop hari ini bahawa Rafizi menjauhkan diri daripada sayap parti adalah cerminan "ketidakpuasan hatinya" dengan proses pemilihan yang menurutnya disusun bagi memenangkan Nurul Izzah.

"Mengabaikan Kongres Pemuda dan Wanita PKR tidak akan membantunya meraih sokongan atau simpati. Dia hanya memainkan naratif bahawa dia bukan pemain pasukan," sumber itu dipetik sebagai berkata.

Malam tadi, Rafizi mendakwa pertandingan merebut jawatan nombor dua PKR antara dia dan Nurul Izzah berlangsung di atas padang yang tidak rata, sambil menegaskan bahawa pemilihan itu dirancang memihak kepada anak perdana menteri berkenaan kerana jentera PKR telah digerakkan untuk menyokongnya.

Sebelum ini, Rafizi menyatakan kesanggupannya meletak jawatan sebagai menteri ekonomi sekiranya gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan PKR minggu depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS