Perhimpunan Umno: Perwakilan jadi sasaran kempen
Kehadiran seramai 2,522 orang perwakilan Umno di Kuala Lumpur pastinya bukan setakat untuk menghadiri perhimpunan agung parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) itu, mulai malam ini hinggalah Jumaat depan.
Kehadiran seramai 2,522 orang perwakilan Umno di Kuala Lumpur pastinya bukan setakat untuk menghadiri perhimpunan agung parti tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) itu, mulai malam ini hinggalah Jumaat depan.
Sebaliknya, kehadiran mereka itu amat dinanti-nantikan oleh barisan kepimpinan Umno, khususnya di peringkat tertinggi, kerana pemilihan parti akan diadakan selepas pilihanraya umum akan datang.
Dengan jangkaan pilihanraya umum akan diadakan awal tahun depan, maka pemilihan pucuk pimpinan Umno pula dijangka diadakan hujung tahun depan. Pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun ini tetapi ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum akan datang.
Perlembagaan Umno membenarkan pemilihan parti itu ditangguhkan selama 18 bulan mulai perhimpunan kali ini. Ini bermakan Umno mempunyai sehingga awal 2009 untuk mengadakan pemilihan parti.
Bagaimanapun, seperti kebiasaannya, pemilihan Umno akan diadakan dalam perhimpunan yang akan datang, iaitu hujung tahun depan.
Oleh itu, ketika perhimpunan kali ini membahaskan isu-isu parti dan isu negara, di sebalik tabir pula, akan berlangsung kempen meraihkan sokongan daripada para perwakilan sebagai persedian menghadapi pemilihan Umno nanti.
Sibuk 'luar dalam'
Oleh itu, pemerhati politik menjangkakan, perhimpunan kali ini akan sibuk 'luar dalam' bagi para pemimpin dan perwakilan Umno.
Menurut mereka, yang di dalam akan sibuk mendengar perbahasan, manakala yang di luar pula akan sibuk mengatur strategi masing-masing untuk meraihkan sokongan bagi 'bos-bos' masing-masing bagi menghadapi pemilihan parti akan datang.
Seorang pemerhati politik menjangka para perwakilan dari negeri-negeri yang ramai bilangan perwakilannya, berdasarkan kepada jumlah bahagian masing-masing, akan menjadi tumpuan para tukang kempen.
Setiap bahagian menghantar sebelas perwakilan. Antara negeri yang ramai jumlah bahagiannya ialah Johor (26 bahagian), Sabah (25), Perak (24), Selangor (22), Kedah (15), Kelantan (14), Pulau Pinang (14) dan Wilayah Persekutuan (13).
Pastinya 'orang' naib-naib presiden Umno - Datuk Seri Mohd Al
i Rustam (kiri) dan Tan Sri Muhyiddin Yasin (kanan) - serta ahli Majlis Tertinggi Umno - perlu bekerja keras sepanjang empat hari perhimpunan agung Umno kali ini untuk mendapatkan sokongan maksimum dari para perwakilan.
Sehubungan itu, ada pihak yang berpendapat bahawa perhimpunan kali ini juga merupakan masa yang terbaik untuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk melancarkan kempennya bagi merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno yang akan datang.
Tanding naib presiden
Menurut mereka, Hishammuddin tidak perlu menunggu lama untuk menyatakan hasratnya itu atas dua sebab:
Pertama, beliau telah berjanji selepas pemilihan parti yang lalu, bahawa ini adalah penggal terakhir beliau memegang jawatan ketua Pemuda Umno.
Kedua, beliau perlu merebut dari awal-awalnya lagi peluang mengisi satu lagi kekosongan jawatan naib presiden yang kosong selepas kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dibatalkan kerana politik wang.
"Oleh itu, inilah masa yang terbaik untuk Datuk Hisham menyuarakan hasratnya itu - sama ada dalam ucapan dasarnya di perhimpunan Pemuda Umno esok ataupun ketika menggulung perbahasan selaku ketua pergerakan tersebut, pada hari terakhir perhimpunan Jumaat depan," kata seorang pemerhati.
"Jika Datuk Hisham gagal mengumumkan hasratnya kali ini, mungkin peluang untuk menang jawatan naib presiden agak tipis kerana tempoh berkempen terlalu suntuk sebab ramai menjangka pemilihan parti akan diadakan hujung tahun depan," tambahnya.

